Terjemahan buku memacu ilmu
-
Anda tahu berapa judul buku yang menyaksikan matahari setiap hari? Setiap 30 saat, setiap hari, sekitar 4000 buku baharu diterbitkan di seluruh dunia. Sekitar 1.5 juta judul baharu menemui pembaca setiap tahun. Sejak mesin Gutenberg dicipta pada 1450, sebanyak 50 juta judul buku telah diterbitkan di planet bumi. Jika anda berhasrat untuk membaca semua buku itu, anda perlu hidup 250,000 tahun. Malah, kalaupun anda hanya membaca judul sahaja, anda memerlukan 15 tahun!
Sesungguhnya, kita masih jauh di belakang dari segei penerbitan dan penterjemahan buku. Amerika Syarikat, gergasi utama dalam dunia penerbitan menerbitkan 150,000 judul setahun, dengan 17 judul setiap jam, termasuk pada hari Sabtu dan Ahad. Negara itu mendahulu gergasi lain iaitu Jerman, Britain, Perancis, dan Jepun. Namun, jika angka 1994 diambil kira, negara Uncle Sam itu mengecewakan dari segi penterjemahan. Daripada sekitar 40,500 judul yang diterbitkan, hanya 1,124 ialah buku terjemahan.
Pada tahun 1986 hanya sebanyak sekitar 62,000 judul buku terjemahan diterbitkan di seluruh dunia, dengan Sepanyol menjadi negara paling giat melakukan terjemahan, dengan menerbitkan sebanyak sekitar 10,000 judul terjemahan. Rusia menterjemahkan sebanyak sekitar 8,200 judul karya terjemahan, diikuti Jerman sebanyak 8,140 judul, dan Belanda sebanyak hampir 4,000 judul. Jepun yang selama ini kita anggap begitu maju dari segi terjemahan berada di tangga kelima, dengan hanya sekitar 3,950 judul.
Di manakah kedudukan kita di tengah-tengah gergasi itu? Dalam tempoh sepuluh tahun, dari 1983 hingga 1993, kita hanya mampu menterjemahkan sekitar 1,900 judul, jauh di belakang lima negara teratas dalam dunia penterjemahan tadi.
Penubuhan Institut Terjemahan Negara (ITNM) Malaysia pada 1993, seolah-olah tiodak mampu menyelesaikan masalah. Maksudnya, purata sekitar 170 judul terjemahan diterbitkan setiap tahun. Trend dan status sekarang tidak jauh berubah, kalaupun tidak merosot. Bahagian Terjemahan perlu diwujudkan semula di DBP, dan pihak penerbit universiti perlu turut membantu dengan tidak hanya menerbitkan buku asli.
Sejak penubuhannya hingga 2004, ITNM hanya menerbitkan sekitar 500 judul buku sahaja. Sebahagian besar buku yang diterjemahkan ialah buku pendidikan, diikuti buku sastera, sans politik, sains, dan teknologi maklumat. Sejajar dengan pola di peringkat dunia, rata-rata karya terjemahan tersebut adalah bersumberkan bahasa Inggeris. Sementara itu, Korea Selatan dengan penduduk sebanyak 40 juta jiwa mampu menerbitkan 40,000 judul. Negara jiran, Thailand dengan 64 juta penduduk secara purata menebitkan 30,000 judul, Filipina 15,000 judul, dan kini Indonesia dengan 230 juta penduduk hanya mampu menerbitkan 10,000 judul setahun.
Senario dunia terjemahan di Malaysia kian muram, dengan tidak banyak buku, baik buku ilmiah mahupun buku fiksyen, termasuk novel bermutu dan karya agung diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Tentu sesuatu yang menakjubkan, bagaimana negara yang sering kita pandang rendah dari segi penerbitan dan penterjemahan kerana kejahilan kita, iaitu Indonesia, begitu pantas dan banyak menerbitkan buku terjemahan, termasuk buku falsafah.
Berapa banyakkah buku agung dalam bidang sains, politik, falsafah, seni, dan ratusan lagi dalam bahasa aisng telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu?
Buku terjemahan di Malaysia kebanyakannya bersumberkan bahasa Inggeris seolah-olah hanya karya dalam bahasa Inggeris yang mempunyai kualiti. Walhal, ribuan lagi karya dalam bahasa asing lain yang tidak kurang mutunya. Adakah ini berunca daripada kejahilan kita, atau kita memang tidak menguasai bahasa tersebut? Atau, kita terlalu condong kepada bahasa Inggeris, kerana menganggap bahawa hanya karya dalam bahasa itu yang hebat?
Dalam dunia multibahasa dan multibudaya, salah satu strategi yang berkesan untuk mewujudkan persefahaman, perpaduan, dan tolak ansur adalah melalui bidang penterjemahan. Apatah lagi di dunia ini, terdapat sekurang-kurangnya 7,000 bahasa. Di rantau Asia Pasifik sahaja terdapat sekurang-kuirangnya 1,000 bahasa di 70 buah negara.
Tanpa penterjemahan, sesebuah kumpulan etnik dan negara akan terpulau dalam dunianya sendiri, sedangkan dalam zaman globalisasi, itu adalah sesuatu yang mustahil. Terjemahan dapat merapatkan jurang pemisah dan merungkaikan tembok perbezaan, dan melaluinya, kita akan dapat membina persefahaman.
Yang tidak kurang pentingnya, dengan adanya terjemahan, kita dapat membina korpus dan khazanah ilmu dalam sesuatu bidang, yang tidak atau belum lagi maju di negara ini. Buku dan penerbitan merupakan proses penting dalam pertukaran maklumat dan ilmu. Kita perlu melipatgandakan usaha untuk melakukan penterjemahan buku, kerana buku meurpakan wadah ilmu yang paling berkesan. Kemajuan dan kiebangkitan sesuatu bangsa banyak ditentukan oleh keupayaannya menyalurkan ilmu kepada semua peringkat masyarakatnya.
Berdasarkan UNESCO Cultural Statistic Yearbook, bahasa sumber utama dalam bidang penterjemahan ialah bahasa Inggeris. Lebih daripada 50 peratus terjemahan di Jerman ialah daripada bahasa Inggeris, berbanding 70 peratus masing-masingnya di Norway dan di Sweden.
Malah, sebanyak 50 peratus daripada buku yang diterjemahkan di seluruh dunia adalah daripada bahasa Inggeris, manakala hanya tiga peratus daripada bahasa lain ke dalam bahasa Inggeris. Hal ini memperlihatkan ketidakseimbangan dalam kegiatan terjemahan, sekali gus pengaliran maklumat, ilmu dan budaya dunia. Hanya 10 peratus terjemahan masing-masingnya adalah daripada bahasa Jerman dan bahasa Perancis.
——————————————————————————————–
DR. JENIRI AMIR memberi panduan percuma tentang pernulisan, ucapan, laporan, terjemahan dan banyak lagi di blog beliau. Beliau juga memberi kursus Pengucapan Awam di Universiti Malaysia Sarawak dan banyak diundang untuk menjadi fasilitator kursus dan bengkel pengucapan awam dan penulisan berkesan di seluruh negara. Beliau ialah penulis buku terlaris dan penerima Anugerah Buku Negara 2005.

















Komen Terbaru Pembaca Blog