Marimuthu Nadason Pejuang Hak Pengguna
-
Isu kepengunaan semakin penting dalam era globalisasi. Perjuangan menyebarkan isu kepenggunaan memerlukan individu yang komited terhadapnya. Individu tersebut perlu bersedia berkorban dari segi masa dan tenaga bagi memastikan usaha meningkatkan kesedaran, perlindungandan kebajikan pengguna sentiasa diberikan perhatian. Aktivis kepenggunaan seharusnya meletakkan kepentinganp masyarakat pengguna di atas kepentingan sendiri. Isu-isu kepenggunaan semakin kompleks dan banyak, sejajar dengan kemodenan dan kesedaran masyarakat dan negara yang semakin tinggi.
Di negara ini terdapat beberapa persatuan pengguna yang aktif, antaranya ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau lebih dikenali sebagai FOMCA. Terdapat lebih daripada 50 persatuan pengguna bergabung di bawah paying FOMCA, menjadikan gabungan itu sebuah gabungan yang kuat. Bagi menggerakkan gabungan sebesar itu sudah pasti menuntut aktivis yang berwibawa. Sesunguhnya, bukan mudah untuk memenuhi matlamat dan aspirasi pengguna. FOMCA sebagai sebuah gabungan bertindak sebagai saluran untuk pengguna mengemukakan komen, pandangan dan kritikan mereka berkaitan dengan isu dan hak kepenggunaan. FOMCA yang ditubuhkan di Alor Setar pada 1973 telah diterajui oleh pelbagai pemimpin dan pejuang hak pengguna. Kini, FOMCA diterajui oleh seorang -[ejuang hak pengguna yang dihormati, iaitu Datuk Marimuthu Nadason. Marimuthu dilahirkan pada19 Disember 1962 di Taiping, Perak dikenali sebagai seorang yang bukan sahaja komited terhadap isu kepenggunaan di negara ini, tetapi juga prihatin terhadap isudan masalahyang dibangkitkan oleh pengguna kepada FOMCA. Beliau mendapatkan pendidikan awal di SRK King Edward VII, sebelum meneruskan pelajarannya di SMK Darul Rudzuan sehingga Tingkatan Lima. Setelah menamatkan alam persekolahan, dia mula bekerja sebagai pembantu am pejabat, sebelum meengubah kerjayanya dengan bertugas di sebuah syarikat hartanah di Taiping, Perak. Pengalaman di syarikat tersebut membuka mata beliau, dan sekali gus menjadi titik tolak dalam perubahan kehidupannya.
Bagi Marimuthu, pelajaran setakat Tingkatan Lima, adalah tidak memadai. Kesedarn tentang pentingnya pelajaran dan ilmu pengetahuan telah menyebabkan beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma dalam bidang pengurusan dan pemasaran di Institut Pemasaran Malaysia (IMM). Hakikat bahawa jarak Taiping dengan Kuala Lumpur yang agak jauh tidak mematahkan semangatnya untuk berulang-alik setiap minggu bagi memastikan dia dapat mengikuti kursus itu dengan cemerlang. Hanya individu yang mempunyai kesedaran dan keazaman tinggi yang mampu berbuat demikian. Ketika jumlah kolej dan universiti adalah terbatas, beliau tidak mempunyai pilihan, kecuali memilih insitut di Kuala Lumpur.
Minat beliau yang mendalam dalam bidang pengurusan dan pemasaran telah menyebabkan lelaki yang telah berkecimpung dalam aktiviti kepengunaan sejak tahun 80-an itu sanggup berkorban. Beliau sama sekali tidak menyesal dengan keputusan yang diambilnya itu, kerana langkah tersebut telah memungkinkan beliau melangkah ke hadapan dengan lebih pasti. Tanpa disedari, langkah tersebut juga banyak membantu beliau dalam tugas dan tanggungjawab yang dipikulnya di FOMCA. Bagai tidak puas dengan kelulusan akademik yang dicapainya itu, Marimuthu mengorak langkah yang lebih besar dengan melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari New Zealand.
Bilakah beliau mula bergerak dalam aktiviti kepenggunaan? Sejak awal 80-an lagi beliau telah memperlihatkan minatnya untuk bergiat dalam kegiatan kepenggunaan - kegiatan yang tidak begitu banyak diminati di negara ini. Beliau mula aktif dalam Persatuan Pengguna Taiping. Dari situlah mula tersemainya kecintaan dan minatnya yang mendalam dalam isu kepenggunaan. Beliau tidak lagi menoleh ke belakang, dan terus bergiat aktif dalam persatuan pengguna. Dengan membantu menyelesaikan isu kepengunaan dan masalah pengguna telah memberi semacam kepuasan kepada beliau. Beliau sedar bahawa tanpa sesiapa yang berminat dalam bidang tersebut, kepada siapalah lagi tugas itu perlu diserahkan? Kerja sukarela seperti itu menuntut komitmen dan pengorbanan yang tinggi.
Meskipun kadangkala berdepan dengan ancaman dan cabaran, hal ini tidak sama sekali meluntutkan semangatnya untuk bergiat aktif. Beliau tetap langang bersuara bagi mmastikan masalah pengguna didengar oleh pihak berkenaan. Sejak tahun 2001, beliau menekankan banyak program dan aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan isu kepenggunaan dalam kalangan pengguna agar mereka sedar akan hak mereka sebagai pengguna. Pengguna yang sedar akan hak mereka sudah tentu tidak mudah dimanipulasikan dan tahu untuk menuntut hak mereka. Hari Pengguna Malaysia amat ditekankan oleh beliau kerana melalui hari tersebut pelbagai aktiviti yang menarik dianjurkan melibatkan pengguna secara lansung. Usaha turut ke akar umbi, termasuk ke sekolah diberikan perhatian.
Selain daripada itu, beliau juga telah mengambil daya usaha untuk menubuhkan Pusat Pemantauan Harga. Sudah pasti kewujudan pusat tersebut amat penting ketika masyarakat pengguna berhadapan dengan masalah kenaikan kos sara hidup dan wujudnya kecenderungan dalam kalangan peniaga untuk menaikkan harga barangan. Beliau menyedari pentingnya saluran komunkasi yang berkesan diwujudkan, maka, pelbagai strategi diambil termasuk dengan meminta kerjasama pihak media dan menerbitkan risalah untuk disebarkan kepada anggota masyarakat. Komitmen beliau dalam menerajui FOMCA telah memungkinkan gabungan itu mencapai matlamatnya untuk meningkatkan kesedaeran, perlindungan dan kebajikan pengguna. Imej FOMCA semakin meningkat, malah dikagumi oleh pelbagai pihak. Sebenarnya, kerjasama yang dihulurkan oleh Kerajaan kepada FOMCA amat membantu gabunganitu mencapai matlamatnya. Kerajaan menyedari hakikat bahawa persatuan pengguna yang aktif akan akhirnya akan membawa keuntungan dan faedah kepada masyarakat dan negara.
Presiden FOMCA ini banyak meraih pengalaman dalam isu dan hak kepenggunaan ketika beliau bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna Malaysia. Antara sumbangan besar beliau ialah membantu dalam mengemas kini pindaan berkaitan seperti Akta Juala Langsung 993, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Pembangunan perumahan Negara 2000, Akta Perkhidmatan Industri Air 2006, dan beberapa lagi. Salah satu perkara yang membanggakan beliau ialah kejayaannya membentuk Penubuhan Khidmat Aduan Pengguna Nasional pada tahun 2004. Ini merupakan salah satu impian beliau semasa berusia 20-an.
Agensi tersebut bertindak sebagai pusat sehenti dalam usaha untuk menyelesaikan aduan yang diketengahkan oleh pengguna. Sehingga kini sebanyak lima orang peguam bertugas sepenuh masa. Sudah pasti sebagai orang yang mencetuskan idea penubuhannya, beliau amat berpuas hati dengan langkah yang diambil untuk menubuhkannya. Bukti kejayaan usaha beliau dapat dilihat daripada jumlah aduan yang diterima. Pada tahun 2006, misalnya sebanyak 18,000 aduan telah diterima, dan aduan seperti itu amat pnting bagi pejuang hak penguna itu, kerana ini merupakan maklum balas yang terbaik bagi membantu pihaknya mengemukakan cadangan untuk meminda akta yang berkaitan. Jumlah aduan itu turut membuktikan bahawa kesedaran dalam kalangan pengguna telah meningkat.
Pengorbanan beliau tidak sia-sia. Komitmen beliau terhadap isu kepengunaan telah mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan di luar negara. Berkat komitmennya itu, beliau telah diberi amanah dan kepercayaan untuk menyandang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi, Asia pacific Secretariat for Consumer Advocacy, bahagian Penyelidikan dan Pendidikan, Pengerusi Majlis Asia Tenggara untuk Keselamatan Makanan dan Perniagaan Adil, serta Pengerusi Asian Partnership for Development of Human Resources, Manakala di peringkat kebangsaan pula, beliau merupakan Pengerusi Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia dan Pengerusi, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Kebangsaan.
Bagi badan profesional, beliau merupakan Timbalan Pengerusi Institut Marketing Malaysia dan Ahli Profesional Institute of Public Relation Malaysia. Dari segi perwakilan dalam agensi kerajaan/swasta pula, beliau ialah Pesuruhjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Ahli Majlis, Majlis TindakanEkonomi Negara (MTEN), dan Ahli Majlis Standard dan Akreditasi Kebangsaan, Kementerian sains, Teknologi dan Inivasi. Sebagai pejuang hak pengguna, beliau turut diundang untuk menyampaikan idea dan pandangannya di dalam dan di luar negeri sama ada melalui seminar, persidangan atau mesyuarat, terutama berkaitan dengan alam sekitar, hak dan isu kepenggunaan, perbankan, air dan penggunaan lestari.
Sumbangan dan jasa bakti beliau telah dikitiraf oleh kerajaan melalui penghargaan dan bintang kebesaran yang diterimanya. Pada 1985, beliau telah menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Perak, Ahli Mahkota Perak pada tahun 2003, Ahli Mangku Negara, Perak pada 2005, dan Pingat Jasa Negara (PJN) pada tahun 2007 yang membawa gelaran Datuk. Jalan yang dilaluinya sebagai pejuang hak pengguna amat berliku. Meskipun berdepan dengan banyak cabaran, beliau tidak pernah menyerah kalah. Sebaliknya, beliau berazam untuk berjuang dengan penuh komitmen sehingga berjaya. Dalam satu temu ramah dengan media, beliau pernah menyatakan bahawa individu yang ingin berjaya dalam hidup perlu mempunyai matlamat dan pegangan, dengan bersikap jujur dan tidak terlalu mengharapkan habuan daripada kerja yang dilakukannya.

















Komen Terbaru Pembaca Blog