Logo Background RSS

Menulis buku, membuat duit dan capai impian

  • Mahu melihat nama anda dicetak pada kulit buku hasil tulisan anda sendiri? Jika ya, teruskan membaca blog ini. Terbitan blog kali ini bukan sekadar memberitahu bagaimana membuat duit dengan menulis buku. Ia turut menjelaskan proses dan tahap-tahap yang perlu dilalui untuk menjadi penulis buku yang berjaya. Blog ini juga memberi panduan bagaimana menulis buku yang dibaca dan mendapat sambutan khalayak, dan menjadikan anda penulis yang sentiasa mendapat tempat di hati penerbit dan pembaca.

    Menghasilkan manuskrip hingga menjadi buku dan dibaca oleh orang ramai memerlukan sikap profesional, iaitu berdisiplin, kerja keras, kemahiran tinggi, dan kecintaan yang mendalam terhadap dunia penulisan dan ilmu. Kecintaan terhadap bidang penulisan dan keinginan untuk melihat lebih ramai penulis menerokai dunia penulisan, dan seterusnya mendapat wang daripadanya merupakan rangsangan kuat untuk anda menghasilkan buku. Selain itu, kesedaran untuk melihat lebih banyak buku diterbitkan tercetus daripada keinginan untuk melihat suburnya industri buku di negara ini.

    Malangnya, jika sarjana dan penulis luar negara berlumba-lumba untuk menghasilkan buku, keadaan demikian tidak melanda negara kita. Bagi penulis dan sarjana luar negeri, ungkapan publish or perish sudah menjadi aforisme dan mendarah daging. Bagi kita, ungkapan itu tidak membawa makna.

    Kemampuan menulis buku terlaris memang merupakan impian setiap penulis. Menulis pada hari ini bukan lagi sekadar hobi, tetapi kerjaya yang dapat mengubah kehidupan seseorang. Dengan bakat, kesungguhan, dan pengorbanan, penulis akan menikmati ganjaran, penghargaan, kenikmatan atau kepuasan yang tidak terkira. Namanya mungkin meledak di pasaran, dan kesudahannya, buku tersebut sentiasa diburu oleh pembaca.

    Persoalannya, benarkah dengan menulis buku seseorang dapat membuat duit? Mengapa tidak? Kini, sudah ada penulis yang berjaya meraih pendapatan yang lumayan. Ada daripada mereka yang memperoleh sehingga RM250,000 setahun. Untuk mendapat RM25,000 setahun dengan menulis bukan sesuatu yang terlalu sukar. Hasil daripada royalti yang diterima, mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Mereka dapat memenuhi impian dan cita-cita, dengan membeli kondominium, kereta, melabur wang, membeli hartanah, dan melancong ke luar negara.

    Tidak hairan keinginan untuk menulis buku kini kian meluas. Ada yang begitu prolifik dan menghasilkan sehingga melebihi lima buah buku dalam setahun. Di Malaysia, ketika jumlah buku dan penulis tidak begitu banyak, penulis dapat menganggap diri mereka bertuah kerana mempunyai bakat dan kemahiran untuk menulis.

    Namun, keinginan untuk menghasilkan buku yang berkualiti, memenuhi cita rasa pembaca sehingga akhirnya menjadi buku terlaris tetap sentiasa membara di hati penulis atau pengarang. Mereka sedar bahawa menulis mendatangkan kesan positif kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Buku merupakan senjata berdaya debat yang hebat. Buku dapat dijadikan kubu untuk menangkis serangan pemikiran, dan buku juga dapat dijadikan senjata untuk menyerang pemikiran. Jadi, sebagai penulis, kita perlu menyerang pemikiran dengan pemikiran juga, iaitu melalui buku yang tajam pemikirannya.

    Menulis Buku : Cara Lain Dapatkan Wang Besar

    Share and Enjoy:
    • Digg
    • del.icio.us
    • Facebook
    • NewsVine
    • Reddit
    • StumbleUpon
    • YahooMyWeb
    • Google Bookmarks
    • Yahoo! Buzz
    • TwitThis
    • Live
    • LinkedIn
    • Pownce
    • MySpace
Leave a Comment

Security Code: