Logo Background RSS

» Panduan Menulis

  • Kembara menulis buku pun bermula…
    By Jeniri Amir on June 22nd, 2009 | 2 Comments2 Comments Comments

    Berpandukan strategi penerbitan dan pemasaran yang betul, buku bukan fiksyen juga mulai mendapat pasaran yang baik. Ada buku yang diulang cetak beberapa kali dalam tempoh yang relatif singkat sehingga melonjakkan nama penulis ke papan teratas.

    Namun, untuk mencapai kejayaan seperti itu bukan mudah. Sifat, persediaan, pengetahuan, dan kemahiran yang betul dituntut bagi membolehkan anda muncul sebagai penulis yang berjaya. Menyedari pentingnya calon penulis didedahkan dengan teknik, prinsip, panduan, dan tip penulisan buku yang berkesan, maka saya berusaha untuk menulis buku ini, ‘Menulis Buku: Cara Lain Dapatkan Wang Besar’. Banyak permintaan daripada penulis, termasuk pensyarah universiti agar saya menghasilkan buku seumpama ini, sesudah buku Buat Duit Dengan Menulis beredar di pasaran. Tambahan pula, belum terdapat buku seumpamanya di Malaysia.

    Buku ini secara khusus menjelaskan panduan menulis buku daripada peringkat membuat kertas cadangan, mendapatkan idea, memberi tajuk, menulis wacana, pembacaan pruf, hinggalah penyediaan manuskrip. Dengan demikian diharapkan, ia dapat mengatasi sebarang hambatan dan masalah mereka yang ingin menulis buku.

    Buku ini dapat mencungkil potensi anda sebagai penulis kerana sifatnya yang informatif dengan menekankan panduan yang praktikal. Buku ini sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang ingin menulis dan berminat dalam dunia penulisan, termasuk golongan profesional yang sibuk. Pengolahannya menarik dan penyampaiannya mudah diikuti kerana penulis menggunakan gaya bahasa yang lincah dan mudah, tetapi segar dan kreatif. Terdapat banyak kisah menarik, statistik yang menakjubkan, dan kata-kata hikmat yang memberi rangsangan dimuatkan dalam buku ini.

    Dalam bidang penulisan, memang menjadi impian setiap penulis untuk menghasilkan buku yang akan dibeli dan dibaca oleh masyarakat. Kalau dapat mereka mahu buku itu menjadi bestseller. Itulah yang menjadi pegangan saya ketika menulis buku ini. Selain bersifat motivasi, buku ini lebih merupakan buku panduan how to yang dapat menjadi pegangan atau handbook mereka yang ingin menghasilkan manuskrip yang berpotensi diterima oleh penerbit. Anda dapat mengetahui panduan dari segi penyediaan kertas cadangan, bahagian yang perlu ada dalam buku, alat penulisan yang berkesan, aspek yang dinilai, dan mengapa manuskrip anda ditolak oleh penerbit.

    Dalam dunia penerbitan, banyak pihak yang terlibat: penulis, penilai, editor, pereka letak, pembaca pruf, pengedar, dan pembeli. Pendek kata, buku ini adalah tentang dunia buku dari peringkat menggagaskan idea hingga ke promosi buku. Bab teknik mengubah suai tesis menjadi buku, kaedah penulisan KJ, dan aspek penilaian buku tentu amat berguna kepada penulis. Kriteria buku yang berjaya, sebab manuskrip ditolak dan strategi menanganinya turut disentuh dalam buku ini.

    Panduan atau tip yang disampaikkan adalah berdasarkan pengalaman, pengetahuan, dan kemahiran  selama berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 20 tahun, baik sebagai penulis, pengulas buku, pengkritik, penilai, editor, pemudah cara kursus ataupun pembicara buku. Buku ini merupakan yang pertama seumpamanya diterbitkan di Malaysia.

    Jadi, jika anda mahu tahu bagaimana menjadi penulis yang berjaya, bacalah buku ‘Menulis Buku: Cara Lain Dapatkan Wang Besar’. Saya yakin bahawa idea anda akan dapat disampaikan dalam bentuk buku yang mendatangkan hasil kewangan dan kesan positif lain kepada anda, keluarga,  dan negara. Anda harus yakin terhadap diri, dan mulalah menulis. Menulis ialah langkah pertama ke dunia keseronokan dan kepuasan yang yang pasti ingin anda nikmati.

    Menulis buku, membuat duit dan capai impian

    Cara menulis buku yang orang baca

    Share and Enjoy:
    • Digg
    • del.icio.us
    • Facebook
    • NewsVine
    • Reddit
    • StumbleUpon
    • YahooMyWeb
    • Google Bookmarks
    • Yahoo! Buzz
    • TwitThis
    • Live
    • LinkedIn
    • Pownce
    • MySpace
  • Menulis buku, membuat duit dan capai impian
    By Jeniri Amir on June 16th, 2009 | No Comments Comments

    Mahu melihat nama anda dicetak pada kulit buku hasil tulisan anda sendiri? Jika ya, teruskan membaca blog ini. Terbitan blog kali ini bukan sekadar memberitahu bagaimana membuat duit dengan menulis buku. Ia turut menjelaskan proses dan tahap-tahap yang perlu dilalui untuk menjadi penulis buku yang berjaya. Blog ini juga memberi panduan bagaimana menulis buku yang dibaca dan mendapat sambutan khalayak, dan menjadikan anda penulis yang sentiasa mendapat tempat di hati penerbit dan pembaca.

    Menghasilkan manuskrip hingga menjadi buku dan dibaca oleh orang ramai memerlukan sikap profesional, iaitu berdisiplin, kerja keras, kemahiran tinggi, dan kecintaan yang mendalam terhadap dunia penulisan dan ilmu. Kecintaan terhadap bidang penulisan dan keinginan untuk melihat lebih ramai penulis menerokai dunia penulisan, dan seterusnya mendapat wang daripadanya merupakan rangsangan kuat untuk anda menghasilkan buku. Selain itu, kesedaran untuk melihat lebih banyak buku diterbitkan tercetus daripada keinginan untuk melihat suburnya industri buku di negara ini.

    Malangnya, jika sarjana dan penulis luar negara berlumba-lumba untuk menghasilkan buku, keadaan demikian tidak melanda negara kita. Bagi penulis dan sarjana luar negeri, ungkapan publish or perish sudah menjadi aforisme dan mendarah daging. Bagi kita, ungkapan itu tidak membawa makna.

    Kemampuan menulis buku terlaris memang merupakan impian setiap penulis. Menulis pada hari ini bukan lagi sekadar hobi, tetapi kerjaya yang dapat mengubah kehidupan seseorang. Dengan bakat, kesungguhan, dan pengorbanan, penulis akan menikmati ganjaran, penghargaan, kenikmatan atau kepuasan yang tidak terkira. Namanya mungkin meledak di pasaran, dan kesudahannya, buku tersebut sentiasa diburu oleh pembaca.

    Persoalannya, benarkah dengan menulis buku seseorang dapat membuat duit? Mengapa tidak? Kini, sudah ada penulis yang berjaya meraih pendapatan yang lumayan. Ada daripada mereka yang memperoleh sehingga RM250,000 setahun. Untuk mendapat RM25,000 setahun dengan menulis bukan sesuatu yang terlalu sukar. Hasil daripada royalti yang diterima, mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Mereka dapat memenuhi impian dan cita-cita, dengan membeli kondominium, kereta, melabur wang, membeli hartanah, dan melancong ke luar negara.

    Tidak hairan keinginan untuk menulis buku kini kian meluas. Ada yang begitu prolifik dan menghasilkan sehingga melebihi lima buah buku dalam setahun. Di Malaysia, ketika jumlah buku dan penulis tidak begitu banyak, penulis dapat menganggap diri mereka bertuah kerana mempunyai bakat dan kemahiran untuk menulis.

    Namun, keinginan untuk menghasilkan buku yang berkualiti, memenuhi cita rasa pembaca sehingga akhirnya menjadi buku terlaris tetap sentiasa membara di hati penulis atau pengarang. Mereka sedar bahawa menulis mendatangkan kesan positif kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Buku merupakan senjata berdaya debat yang hebat. Buku dapat dijadikan kubu untuk menangkis serangan pemikiran, dan buku juga dapat dijadikan senjata untuk menyerang pemikiran. Jadi, sebagai penulis, kita perlu menyerang pemikiran dengan pemikiran juga, iaitu melalui buku yang tajam pemikirannya.

    Menulis Buku : Cara Lain Dapatkan Wang Besar

    Share and Enjoy:
    • Digg
    • del.icio.us
    • Facebook
    • NewsVine
    • Reddit
    • StumbleUpon
    • YahooMyWeb
    • Google Bookmarks
    • Yahoo! Buzz
    • TwitThis
    • Live
    • LinkedIn
    • Pownce
    • MySpace
  • Terjemahan buku memacu ilmu
    By Jeniri Amir on May 25th, 2009 | No Comments Comments

    Anda tahu berapa judul buku yang menyaksikan matahari setiap hari? Setiap 30 saat, setiap hari, sekitar 4000 buku baharu diterbitkan di seluruh dunia. Sekitar 1.5 juta judul baharu menemui pembaca setiap tahun.  Sejak mesin Gutenberg dicipta pada 1450, sebanyak 50 juta judul buku telah diterbitkan di planet bumi.  Jika anda berhasrat untuk membaca semua buku itu, anda perlu hidup 250,000 tahun. Malah, kalaupun anda hanya membaca judul sahaja, anda memerlukan 15 tahun!

    Sesungguhnya, kita masih jauh di belakang dari segei penerbitan dan penterjemahan buku. Amerika Syarikat, gergasi utama dalam dunia penerbitan menerbitkan 150,000 judul setahun, dengan 17 judul setiap jam, termasuk pada hari Sabtu dan Ahad. Negara itu mendahulu gergasi lain iaitu Jerman, Britain, Perancis, dan Jepun. Namun, jika angka 1994 diambil kira, negara Uncle Sam itu mengecewakan dari segi penterjemahan. Daripada sekitar 40,500 judul yang diterbitkan, hanya 1,124 ialah buku terjemahan.

    Pada tahun 1986 hanya sebanyak sekitar 62,000 judul buku terjemahan diterbitkan di seluruh dunia, dengan Sepanyol menjadi negara paling giat melakukan terjemahan, dengan menerbitkan sebanyak sekitar 10,000 judul terjemahan. Rusia menterjemahkan sebanyak sekitar 8,200 judul karya terjemahan, diikuti Jerman sebanyak 8,140 judul, dan Belanda sebanyak hampir 4,000 judul. Jepun yang selama ini kita anggap begitu maju dari segi terjemahan berada di tangga kelima, dengan hanya sekitar 3,950 judul.

    Di manakah kedudukan kita di tengah-tengah gergasi itu?  Dalam tempoh sepuluh tahun, dari 1983 hingga 1993, kita hanya mampu menterjemahkan sekitar 1,900 judul, jauh di belakang lima negara teratas dalam dunia penterjemahan tadi.

    Penubuhan Institut Terjemahan Negara (ITNM) Malaysia pada 1993, seolah-olah tiodak mampu menyelesaikan masalah. Maksudnya, purata sekitar 170 judul terjemahan diterbitkan setiap tahun. Trend dan status sekarang tidak jauh berubah, kalaupun tidak merosot. Bahagian Terjemahan perlu diwujudkan semula di DBP, dan pihak penerbit universiti perlu turut membantu dengan tidak hanya menerbitkan buku asli.

    Sejak penubuhannya hingga 2004, ITNM hanya menerbitkan sekitar 500 judul buku sahaja. Sebahagian besar buku yang diterjemahkan ialah buku pendidikan, diikuti buku sastera, sans politik, sains, dan teknologi maklumat. Sejajar dengan pola di peringkat dunia, rata-rata karya terjemahan tersebut adalah bersumberkan bahasa Inggeris. Sementara itu, Korea Selatan dengan penduduk sebanyak 40 juta jiwa mampu menerbitkan 40,000 judul. Negara jiran, Thailand  dengan 64 juta penduduk secara purata menebitkan 30,000 judul, Filipina 15,000 judul, dan kini Indonesia dengan 230 juta penduduk hanya mampu menerbitkan 10,000 judul setahun.

    Senario dunia terjemahan di Malaysia kian muram, dengan tidak banyak buku, baik buku ilmiah mahupun buku fiksyen, termasuk novel bermutu dan karya agung diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Tentu sesuatu yang menakjubkan, bagaimana negara yang sering kita pandang rendah dari segi penerbitan dan penterjemahan kerana kejahilan kita, iaitu Indonesia,  begitu pantas dan banyak menerbitkan buku terjemahan, termasuk buku falsafah.

    Berapa banyakkah buku agung dalam bidang sains, politik, falsafah, seni, dan ratusan lagi dalam bahasa aisng telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu?

    Buku  terjemahan di Malaysia kebanyakannya bersumberkan bahasa Inggeris seolah-olah hanya karya dalam bahasa Inggeris yang mempunyai kualiti. Walhal, ribuan lagi karya  dalam bahasa asing lain yang tidak kurang mutunya. Adakah ini berunca daripada kejahilan kita, atau kita memang tidak menguasai bahasa tersebut? Atau, kita terlalu condong kepada bahasa Inggeris, kerana menganggap bahawa hanya karya dalam bahasa itu yang hebat?

    Dalam dunia multibahasa dan multibudaya, salah satu strategi yang berkesan untuk mewujudkan persefahaman, perpaduan, dan tolak ansur adalah melalui bidang penterjemahan. Apatah lagi di dunia ini, terdapat sekurang-kurangnya 7,000 bahasa. Di rantau Asia Pasifik sahaja terdapat sekurang-kuirangnya 1,000 bahasa di 70 buah negara.

    Tanpa penterjemahan, sesebuah kumpulan etnik dan negara akan terpulau dalam dunianya sendiri, sedangkan dalam zaman globalisasi, itu adalah sesuatu yang mustahil. Terjemahan dapat merapatkan jurang pemisah dan merungkaikan tembok perbezaan, dan melaluinya, kita akan dapat membina persefahaman.

    Yang tidak kurang pentingnya, dengan adanya terjemahan, kita dapat membina korpus dan khazanah ilmu dalam sesuatu bidang, yang tidak atau belum lagi maju di negara ini. Buku dan penerbitan merupakan proses penting dalam pertukaran maklumat dan ilmu. Kita perlu melipatgandakan usaha untuk melakukan penterjemahan buku, kerana buku meurpakan wadah ilmu yang paling berkesan. Kemajuan dan kiebangkitan sesuatu bangsa banyak ditentukan oleh keupayaannya menyalurkan ilmu kepada semua peringkat masyarakatnya.

    Berdasarkan UNESCO Cultural Statistic Yearbook, bahasa sumber utama dalam bidang penterjemahan ialah bahasa Inggeris. Lebih daripada 50 peratus terjemahan di Jerman ialah daripada bahasa Inggeris, berbanding 70 peratus masing-masingnya di Norway dan di Sweden.

    Malah, sebanyak 50 peratus daripada buku yang diterjemahkan di seluruh dunia adalah daripada bahasa Inggeris, manakala hanya tiga peratus daripada bahasa lain ke dalam bahasa Inggeris. Hal ini memperlihatkan ketidakseimbangan dalam kegiatan terjemahan, sekali gus pengaliran maklumat, ilmu dan budaya dunia. Hanya 10 peratus terjemahan masing-masingnya adalah daripada bahasa Jerman dan bahasa Perancis.

    ——————————————————————————————–

    DR. JENIRI AMIR memberi panduan percuma tentang pernulisan, ucapan, laporan, terjemahan dan banyak lagi di blog beliau. Beliau juga memberi kursus Pengucapan Awam di Universiti Malaysia Sarawak dan banyak diundang untuk menjadi fasilitator kursus dan bengkel pengucapan awam dan penulisan berkesan di seluruh negara. Beliau ialah penulis buku terlaris dan penerima Anugerah Buku Negara 2005.

    Share and Enjoy:
    • Digg
    • del.icio.us
    • Facebook
    • NewsVine
    • Reddit
    • StumbleUpon
    • YahooMyWeb
    • Google Bookmarks
    • Yahoo! Buzz
    • TwitThis
    • Live
    • LinkedIn
    • Pownce
    • MySpace
  • Cara menulis buku yang orang baca
    By Jeniri Amir on May 18th, 2009 | No Comments Comments

    “Menulis karya yang layak diterbit, mencari orang yang dapat dipercayai untuk menerbitkannya, dan mendapatkan orang yang waras untuk membacanya merupakan tiga kesukaran utama sebagai penulis.”

    - CHARLES CALEB COLTON

    Falsafah

    • Kami percaya anda dapat menulis buku tentang perkara yang anda cintai dan mendapat duit daripadanya.
    • Kami percaya sesungguhnya akan pentingnya kerja kuat.
    • Kami percaya tiada ramuan untuk berjaya. Kami boleh memberi anda resipi, tetapi anda perlu membuat makanan anda sendiri. Dan memakannya.
    • Kami percaya anda perlu menempatkan diri anda dalam dunia ini. Jika tidak, dunia tidak akan mempedulikan anda.
    • Kami percaya mereka yang belajar daripada kesilapan dan meraih manfaat daripadanya selalunya berjaya.
    • Kami percaya pentingnya membuka mata dan telinga, bertindak terhadap semua peluang.
    • Kami percaya tentang perlunya mengumpul sebanyak mungkin maklumat.
    • Kami percaya bahawa mendengar sama penting seperti bercakap, dan membaca sama penting seperti menulis.
    • Kami percaya semakin banyak orang yang anda tolong, semakin banyak orang yang akan menolong anda.
    • Kami percaya akan kuasa ‘terima kasih’.
    • Kami percaya, buku dapat mengubah kehidupan seseorang.

    Sumber: Eckstut & Sterry

    Cara menulis buku yang orang baca

    Share and Enjoy:
    • Digg
    • del.icio.us
    • Facebook
    • NewsVine
    • Reddit
    • StumbleUpon
    • YahooMyWeb
    • Google Bookmarks
    • Yahoo! Buzz
    • TwitThis
    • Live
    • LinkedIn
    • Pownce
    • MySpace
  • Minat biar jangan alang-alang
    By faruqijeniri on November 8th, 2008 | No Comments Comments

    Minat yang mendalam dalam bidang penulisan sering menyebabkan orang mahu terlibat dalam bidang ini. Keinginan hendak menyebarkan buah fikiran, idea ataupun pengalaman ialah penggerak minat menjadi penulis buku. Sama ada anda penulis profesional atau separa profesional, anda perlu menghasilkan manuskrip yang bermutu walaupun tanpa menerima bayaran pendahaluan.

    Berbeza daripada penulis di barat, penerbit di negara kita jarang-jarang yang memberi pendahaluan. Dalam penerbitan di barat, antara penulis yang menerima pendahaluan tertinggi ialah Tom Clancy. penulis ini menerima pendahaluan sekitar AS$14 juta daripada Putnam Berkeley bagi buku yang belum siap ‘Without Remorse’. Mereka dalam dunia penerbitan menganggarkan untuk buku tersebut, Clancy memperoleh lebih daripada AS$20 juta.

    Share and Enjoy:
    • Digg
    • del.icio.us
    • Facebook
    • NewsVine
    • Reddit
    • StumbleUpon
    • YahooMyWeb
    • Google Bookmarks
    • Yahoo! Buzz
    • TwitThis
    • Live
    • LinkedIn
    • Pownce
    • MySpace