Anda tentu ingin tahu, apa faedah yang bakal diperoleh sebagai perucap awam? Anda mahu dikenali ramai, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat? Kemahiran sebagai perucap awam mampu meningkatkan kemahiran peribadi dan sosial. Sering orang yang bijak bercakap di khalayak ramai, dikagumi. Mereka dianggap sebagai orang pandai. Bukan mengejutkan, kemahiran bercakap di khalayak ramai akan membantu meningkatkan kerjaya dan memudahkan idea disampaikan kepada pihak lain.
Kemahiran ini juga membantu anda dalam interaksi sosial. Ia dapat meningkatkan kemahiran personal, interpersonal dan sosial, serta tahap keyakinan diri dan daya kepemimpinan. Ingat, daripada 10 jam anda berjaga, sekitar tujuh jam digunakan untuk berkomunikasi; dan tiga suka daripada komunikasi tersebut adalah dalam bentuk ucapan. Maknanya, seseorang bercakap sekitar 34,000 perkataan sehari, iaitu lebih daripada 12 juta perkataan dalam sehari. Tukarkan jumlah itu ke dalam bentuk buku!
Bagaimanakah kemahiran berucap dapat membantu dalam kerjaya? Di organisasi tempat anda bertugas, anda tidak dapat mengelak daripada berucap termasuk dalam mesyuarat. Sekali-sekala anda tentu diminta membentangkan laporan, bercakap sebagai ahli panel forum, dan menyampaikan ucapan dalam majlis tertentu, termasuk perayaan ulang tahun rakan atau organisasi.
Secara tidak langsung, kemahiran anda dalam aspek lain juga akan dapat ditingkatkan. Misalnya, anda akan dapat menjalankan penyelidikan dengan lebih berkesan, menyampaikan fikiran dengan lebih baik, serta berhadapan dengan orang lain dengan lebih meyakinkan. Pengucapan awam akan turut meningkatkan kemahiran anda berkomunikasi sehingga anda dapat menyesuaikan mesej dan cara berucap mengikut khalayak. Anda akan dapat membina kemahiran logik, berkomunikasi dengan lebih yakin dan berwibawa. Kemahiran bahasa dapat dipertajam, manakala stail penyampaian dapat diperbaiki. Kemahiran berucap diperoleh melalui latihan, latihan, dan latihan.
Bagi mereka yang pakar dalam sesuatu bidang dan mahir berucap, sudah tentu akan diundang ke pelbagai majlis seperti seminar, bengkel, kursus, dan ceramah. Sesetengah penceramah menjadi kaya dan bergelar jutawan, serta begitu dikenali ramai kerana kemahiran tersebut. Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Dr. Fadzilah Kamsah dan Dr. Shukri Abdullah? Jadi, melalui kemahiran ini siapa tahu anda juga akan dapat meraih pendapatan sampingan? Malah, siapa tahu tiga tahun dari sekarang, berceramah dan berucap di khalayak ramai menjadi kerjaya anda, cara anda mencari rezeki? Di negara ini ada orang dibayar seratus ringgit sejam kerana bercakap, tetapi ada juga memperoleh RM6,000 sejam? Tentu dalam diam-diam ada orang yang dibayar lebih daripada itu.
Di Barat, ada yang sampai mencecah ratusan ribu dolar Amerika. Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), misalnya, banyak diundang ke pelbagai tempat, dan beliau meraih pendapatan yang tinggi daripada ucapannya. George Will, penceramah terkenal di AS, mengenakan bayaran AS$15,000 bagi sekali ucapan. Stephen Covey penulis buku The 7 Habits of Highly Effective People merupakan penceramah terkenal. Buku itu tersenarai sebagai bestseller di akhbar New York Times selama 274 minggu. Buku itu laris sebanyak 12 juta naskhah. Beliau banyak diundang memberi ceramah oleh pelbagai pihak di pelbagai negara di dunia ini. Bayaran yang dikenakan oleh beliau adalah antara AS$20,000 hingga AS$135,000 untuk satu ceramah atau ucapan.
Seorang lagi perucap motivasi yang luar biasa hebatnya ialah Anthony Robbins. Ucapannya disebarkan kepada jutaan orang di seluruh dunia melalui seminar, alat audio, video, buku, rancangan televisyen dan lain-lain. Lebih daripada 150 hari setahun digunakannya untuk memberi seminar dalam setahun untuk peserta daripada pelbagai latar belakang - ya, mereka yang sanggup membayar beliau RM365,000 dalam sehari. Dalam tempoh 20 tahun lalu, beliau telah mengendalikan seminar di sekitar 65 buah negara untuk lebih daripada 20,000 peserta!
Anda bagaimana?


















Komen Terbaru Pembaca Blog