Logo Background RSS
  • Marimuthu Nadason Pejuang Hak Pengguna
    By Jeniri Amir on June 7th, 2009 | No Comments Comments

    Isu kepengunaan semakin penting dalam era globalisasi. Perjuangan menyebarkan isu kepenggunaan memerlukan individu yang komited terhadapnya. Individu tersebut perlu bersedia berkorban dari segi masa dan tenaga bagi memastikan  usaha meningkatkan kesedaran, perlindungandan kebajikan pengguna sentiasa diberikan perhatian.  Aktivis kepenggunaan seharusnya meletakkan kepentinganp masyarakat pengguna di atas kepentingan sendiri. Isu-isu kepenggunaan semakin kompleks dan banyak, sejajar dengan kemodenan dan kesedaran masyarakat dan negara yang semakin tinggi.

    Di negara ini terdapat beberapa persatuan pengguna yang aktif, antaranya ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau lebih dikenali sebagai FOMCA. Terdapat lebih daripada 50 persatuan pengguna bergabung di bawah paying FOMCA, menjadikan gabungan itu sebuah gabungan yang kuat. Bagi menggerakkan gabungan sebesar itu sudah pasti menuntut aktivis yang berwibawa. Sesunguhnya, bukan mudah untuk memenuhi matlamat dan aspirasi pengguna. FOMCA sebagai sebuah gabungan bertindak sebagai saluran untuk pengguna mengemukakan komen, pandangan dan kritikan mereka berkaitan dengan isu dan hak kepenggunaan. FOMCA yang ditubuhkan di Alor Setar pada 1973 telah diterajui oleh pelbagai pemimpin dan pejuang hak pengguna. Kini, FOMCA diterajui oleh seorang -[ejuang hak pengguna yang dihormati, iaitu Datuk Marimuthu Nadason. Marimuthu dilahirkan pada19 Disember 1962 di Taiping, Perak dikenali sebagai seorang yang bukan sahaja komited terhadap isu kepenggunaan di negara ini, tetapi juga prihatin terhadap isudan masalahyang dibangkitkan oleh pengguna kepada FOMCA. Beliau mendapatkan pendidikan awal di SRK King Edward VII, sebelum meneruskan pelajarannya di SMK Darul Rudzuan sehingga Tingkatan Lima.  Setelah menamatkan alam persekolahan, dia mula bekerja sebagai pembantu am pejabat, sebelum meengubah kerjayanya dengan bertugas di sebuah syarikat hartanah di Taiping, Perak. Pengalaman di syarikat tersebut membuka mata beliau, dan sekali gus menjadi titik tolak dalam perubahan kehidupannya.

    Bagi Marimuthu, pelajaran setakat Tingkatan Lima, adalah tidak memadai. Kesedarn tentang pentingnya pelajaran dan ilmu pengetahuan telah menyebabkan beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma dalam bidang pengurusan dan pemasaran di Institut Pemasaran Malaysia (IMM). Hakikat bahawa jarak Taiping dengan Kuala Lumpur yang agak jauh tidak mematahkan semangatnya untuk berulang-alik setiap minggu bagi memastikan dia dapat mengikuti kursus itu dengan cemerlang. Hanya individu yang mempunyai kesedaran dan keazaman tinggi yang mampu berbuat demikian. Ketika jumlah kolej dan universiti adalah terbatas, beliau tidak mempunyai pilihan, kecuali memilih insitut di Kuala Lumpur.

    Minat beliau yang mendalam dalam bidang pengurusan dan pemasaran telah menyebabkan lelaki yang telah berkecimpung dalam aktiviti kepengunaan sejak tahun 80-an itu sanggup berkorban. Beliau sama sekali tidak menyesal dengan keputusan yang diambilnya itu, kerana langkah tersebut telah memungkinkan beliau melangkah ke hadapan dengan lebih pasti. Tanpa disedari, langkah tersebut juga banyak membantu beliau dalam tugas dan tanggungjawab yang dipikulnya di FOMCA. Bagai tidak puas dengan kelulusan akademik yang dicapainya itu, Marimuthu mengorak langkah yang lebih besar dengan melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari New Zealand.

    Bilakah beliau mula bergerak dalam aktiviti kepenggunaan?  Sejak awal 80-an lagi beliau telah memperlihatkan minatnya untuk bergiat dalam kegiatan kepenggunaan - kegiatan yang tidak begitu banyak diminati di negara ini. Beliau mula aktif dalam Persatuan Pengguna Taiping. Dari situlah mula tersemainya kecintaan dan minatnya yang mendalam dalam isu kepenggunaan. Beliau tidak lagi menoleh ke belakang, dan terus bergiat aktif dalam persatuan pengguna. Dengan membantu menyelesaikan isu kepengunaan dan masalah pengguna telah memberi semacam kepuasan kepada beliau. Beliau sedar bahawa tanpa sesiapa yang berminat dalam bidang tersebut, kepada siapalah lagi tugas itu perlu diserahkan?  Kerja sukarela seperti itu menuntut komitmen dan pengorbanan yang tinggi.

    Meskipun kadangkala berdepan dengan ancaman dan cabaran, hal ini tidak sama sekali meluntutkan semangatnya untuk bergiat aktif. Beliau tetap langang bersuara bagi mmastikan masalah pengguna didengar oleh pihak berkenaan. Sejak tahun 2001, beliau menekankan banyak program dan aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan isu kepenggunaan dalam kalangan pengguna agar mereka sedar akan hak mereka sebagai pengguna. Pengguna yang sedar akan hak mereka sudah tentu tidak mudah dimanipulasikan dan tahu untuk menuntut hak mereka. Hari Pengguna Malaysia amat ditekankan oleh beliau kerana melalui hari tersebut pelbagai aktiviti yang menarik dianjurkan melibatkan pengguna secara lansung. Usaha turut ke akar umbi, termasuk ke sekolah diberikan perhatian.

    Selain daripada itu, beliau juga telah mengambil daya usaha untuk menubuhkan Pusat Pemantauan Harga. Sudah pasti kewujudan pusat tersebut amat penting ketika masyarakat pengguna berhadapan dengan masalah kenaikan kos sara hidup dan wujudnya kecenderungan dalam kalangan peniaga untuk menaikkan harga barangan. Beliau menyedari pentingnya saluran komunkasi yang berkesan diwujudkan, maka, pelbagai strategi diambil termasuk dengan meminta kerjasama pihak media dan menerbitkan risalah untuk disebarkan kepada anggota masyarakat. Komitmen beliau dalam menerajui FOMCA telah memungkinkan gabungan itu mencapai matlamatnya untuk meningkatkan kesedaeran, perlindungan dan kebajikan pengguna. Imej FOMCA semakin meningkat, malah dikagumi oleh pelbagai pihak. Sebenarnya, kerjasama yang dihulurkan oleh Kerajaan kepada FOMCA amat membantu gabunganitu mencapai matlamatnya. Kerajaan menyedari hakikat bahawa persatuan pengguna yang aktif akan akhirnya akan membawa keuntungan dan faedah kepada masyarakat dan negara.

    Presiden FOMCA ini banyak meraih pengalaman dalam isu dan hak kepenggunaan ketika beliau bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna Malaysia. Antara sumbangan besar beliau ialah membantu dalam mengemas kini pindaan berkaitan seperti Akta Juala Langsung 993, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Pembangunan perumahan Negara 2000, Akta Perkhidmatan Industri Air 2006, dan beberapa lagi. Salah satu perkara yang membanggakan beliau ialah kejayaannya membentuk Penubuhan Khidmat Aduan Pengguna  Nasional pada tahun 2004. Ini merupakan salah satu impian beliau semasa berusia 20-an.

    Agensi tersebut bertindak sebagai pusat sehenti dalam usaha untuk menyelesaikan aduan yang diketengahkan oleh pengguna. Sehingga kini sebanyak lima orang peguam bertugas sepenuh masa. Sudah pasti sebagai orang yang mencetuskan idea penubuhannya, beliau amat berpuas hati dengan langkah yang diambil untuk menubuhkannya.  Bukti kejayaan usaha beliau dapat dilihat daripada jumlah aduan yang diterima. Pada tahun 2006, misalnya sebanyak 18,000 aduan telah diterima, dan aduan seperti itu amat pnting bagi pejuang hak penguna itu, kerana ini merupakan maklum balas yang terbaik bagi membantu pihaknya mengemukakan cadangan untuk meminda akta yang berkaitan. Jumlah aduan itu turut membuktikan bahawa kesedaran dalam kalangan pengguna telah meningkat.

    Pengorbanan beliau tidak sia-sia. Komitmen beliau terhadap isu kepengunaan telah mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan di luar negara.  Berkat komitmennya itu, beliau telah diberi amanah dan kepercayaan untuk menyandang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi, Asia pacific Secretariat for Consumer Advocacy, bahagian Penyelidikan dan Pendidikan, Pengerusi Majlis Asia Tenggara untuk Keselamatan Makanan dan Perniagaan Adil, serta Pengerusi Asian Partnership for Development of Human Resources,  Manakala di peringkat kebangsaan pula, beliau merupakan Pengerusi Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia dan Pengerusi, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Kebangsaan.

    Bagi badan profesional, beliau merupakan  Timbalan Pengerusi Institut Marketing Malaysia dan Ahli Profesional Institute of Public Relation Malaysia. Dari segi perwakilan dalam agensi kerajaan/swasta pula, beliau ialah Pesuruhjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Ahli Majlis, Majlis TindakanEkonomi Negara (MTEN), dan Ahli Majlis Standard dan Akreditasi Kebangsaan, Kementerian sains, Teknologi dan Inivasi. Sebagai pejuang hak pengguna, beliau turut diundang untuk menyampaikan idea dan pandangannya di dalam dan di luar negeri sama ada melalui seminar, persidangan atau mesyuarat, terutama berkaitan dengan alam sekitar, hak dan isu kepenggunaan, perbankan, air dan penggunaan lestari.

    Sumbangan dan jasa bakti beliau telah dikitiraf oleh kerajaan melalui penghargaan dan bintang kebesaran yang diterimanya. Pada 1985, beliau telah menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Perak, Ahli Mahkota Perak pada tahun 2003, Ahli Mangku Negara, Perak pada 2005, dan Pingat Jasa Negara (PJN) pada tahun 2007 yang membawa gelaran Datuk. Jalan yang dilaluinya sebagai pejuang hak pengguna amat berliku. Meskipun berdepan dengan banyak cabaran, beliau tidak pernah menyerah kalah. Sebaliknya, beliau berazam untuk berjuang dengan penuh komitmen sehingga berjaya. Dalam satu temu ramah dengan media, beliau pernah menyatakan bahawa individu yang ingin berjaya dalam hidup perlu mempunyai matlamat dan pegangan, dengan bersikap jujur dan tidak terlalu mengharapkan habuan daripada kerja yang dilakukannya.

    Share and Enjoy:
    • Digg
    • del.icio.us
    • Facebook
    • NewsVine
    • Reddit
    • StumbleUpon
    • YahooMyWeb
    • Google Bookmarks
    • Yahoo! Buzz
    • TwitThis
    • Live
    • LinkedIn
    • Pownce
    • MySpace
  • Bahasa kebangsaan lambang jati diri bangsa
    By Jeniri Amir on June 6th, 2009 | 3 Comments3 Comments Comments

    Sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat lazimnya memerlukan bahasa, lagu, negara, atau bendera sebagai lambang kemerdekaan dan kedaulatannya. Pengiktirafan dan penerimaan lambang kebangsaan berkenaan oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, agama, dan budaya di negara berkenaan amat penting dari segi pembentukan negara bangsa. Negara berkenaan perlu menyemai dan mengukuhkan nilai kolektif yang menjadi hak dan ikon bersama. Sesungguhnya, bahasa kebangsaan merupakan wahana simbolik semangat kebangsaan yang paling berkesan.

    Negara sebagai kesatuan geopolitik, tidak selalu identik sebagai kesatuan sosiobudaya. Justeru, bahasa kebangsaan bertindak sebagai alat pemersatu, selain untuk menimbulkan kesedaran tentang identiti di peringkat kebangsaan. Bahasa kebangsaan yang diideologikan melalui kuasa politik itu dijadikan sebagai lambang persatuan demi pergerakan rakyat. Alexis de Tocqueville menyatakan, ‘ikatan bahasa mungkin merupakan ikatan yang paling teguh dan paling tahan lama yang dapat menyatukan manusia.’

    Dalam konteks negara ini, kepentingan bahasa kebangsaan telah mulai disedari oleh Perdana Menteri pertama.  Tunku Abdul Rahman  menyatakan bahawa “adalah wajar bagi kita sebuah negara membangun berhasrat mempunyai bahasa kita sendiri. Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian - apa yang boleh saya ungkapkan sebagai negara yang tidak mempunyai jiwa dan roh.”

    Bukan sebarang bahasa boleh diangkat sebagai bahasa kebangsaan.  Nida E.A (1975) menghuraikan tiga ciri yang perlu ada pada setiap bahasa kebangsaan. Pertama, perlunya bahasa itu berkecuali dari segi politik; kedua, ia hendaklah ada kaitan dengan pelbagai bahasa di rantau itu; dan ketiga, terdapat bilangan ketara penutur supaya mereka dapat menjadi penutur contoh kepada orang lain untuk mempelajarinya.

    Tanpa satu bahasa yang dapat difahami dan dikuasai oleh seluruh rakyat sebagai alat pemersatu dan pengikat jiwa rakyat, negara itu tidak akan dapat mencapai kemajuan, sebagaimana yang dialami oleh negara India dan negara-negara Afrika. Laporan Bank Dunia pada tahun 1999, misalnya, menarik untuk meninjau kaitan taraf kemajuan sesebuah negara dengan dasar bahasa kebangsaannya.

    Negara yang menggunakan bahasa peribumi sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kelihatan berada pada kedudukan yang baik dari segi penarafan Keluaran Dalam Negara Kasar. Jepun, Perancis, dan Jerman  berada pada kedudukan penarafan lima teratas. Fafunwa (1989) menegaskan bahawa terdapat korelasi antara kemunduran dan penggunaan bahasa asing sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara tertentu benua Afrika. Negara paling miskin di Afrika telah memilih bahasa Perancis atau bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan mereka.

    Negara yang tidak mempunyai bahasa kebangsaan ialah negara yang ketiadaan jiwa dan roh. Negara itu pasti akan berhadapan dengan masalah untuk menyatukan penduduknya. Dengan bahasa, nilai dan kepentingan yang berbeza, rakyat akan mudah saling bercakaran. Pergolakan sosial akan berlaku, dan ini akhirnya akan memudaratkan negara itu dari segi politik, sosial dan ekonomi. Sebaliknya, dengan adanya bahasa kebangsaan sebagai lingua franca, rakyat pelbagai etnik akan dapat disatukan, penduduk pelbagai daerah akan dapat diikat, dan kota dan desa akan dapat dijambatani. Singkatnya, bahasa kebangsaan dapat menyerap mesra ke dalam seluruh pelosok kehidupan masyarakat, berbanding dengan dialek etnik atau bahasa asing. Bahasa kebangsaan akan dapat dijadikan sebagai alat komunikasi utama, selain sebagai wadah yang mendukung perkembangan ilmu dan pemikiran bangsa dalam segala bidang.

    Memang banyak faktor yang membina identiti sesuatu bangsa seperti tradisi, agama, sosiobudaya, amalan dan bahasa. Bahasa memang menunjukkan bangsa. Bahasa kebangsaan merupakan salah satu ciri utama yang membezakan sesuatu bangsa dengan bangsa lain, dan sebuah negara dengan negara lain. Sebagai negara yang berdaulat dan merdeka, sesebuah negara  memerlukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa alat dan mangkin untuk membentuk jati diri dan keperibadian sebagai negara bangsa.

    Bahasa merupakan ciri yang menentukan identiti seseorang pada peringkat negara dan antarabangsa. Kata-kata ‘bahasa jiwa bangsa’  bukan sekadar slogan, tetapi ciri utama yang menentukan jati diri ‘kebangsaan’ sesuatu bangsa itu. Ternyata, bahasa kebangsaan merupakan alat penting untuk membentuk dan mengembangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa. Itulah sebabnya, amat penting bagi mana-mana negara untuk memajukan bahasa kebangsaannya, dengan meenjadikannya sebagai agenda utama pembangunan negara, sebagaimana ia memajukan lapangan lain seperti sains, teknologi, pertanian dan pembangunan prasarana.

    Sebagai masyarakat multietnik, masyarakat dalam sesebuah negara adalah terbahagi-bahagi mengikut ideologi, kepercayaan, agama, bahasa dan seumpamanya. Dalam keadaan yang demikian, peranan bahasa kebangsaan sebagai  alat untuk menyatukan pelbagai suku kaum amat dituntut.   Melalui bahasa kebangsaan sesebuah negara dapat membina keperibadian dan tamadun mengikut acuannya sendiri - sesuai dengan aspirasi, latar sejarah dan budaya rakyatnya.

    Sesuatu bangsa perlu memajukan bangsa dan tamadunnya melalui bahasanya sendiri. Sesuatu  negara perlu memajukan bangsanya bukannya mengikut acuan orang lain, sebaliknya hendaklah memajukannya mengikut acuan yang sesuai dengan aspirasi, budaya, nilai, falsafah dan weltanschaungnya. Dalam hubungan ini, ia perlu menggunakan bahasa kebangsaan sendiri kerana bahasa bukan sekadar lambang, tetapi ialah cerminan jati diri, kerana sesungguhnya bahasa menunjukkan bangsa. Akhirnya, kemajuan bangsa bergantung pada acuannya sendiri, dan kemajuan bahasa kebangsaan juga bergantung pada sejauh mana ia digunakan dalam seluruh kehidupan negara berkenaan. Sesungguhnya, tidak ada bangsa dan tamadun  di dunia ini yang dimajukan  melalui bahasa asing, melainkan melalui bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan.

    Bahasa asing  perlu digunakan sebagai alat untuk mendapatkan ilmu dan menghubungkannya dengan  tamadun luar kerana bangsa dan bahasa tidak dapat dipisahkan dalam proses pembinaan tamadun atau kemajuan manusia. Kejayaan dan keagungan bahasa  kebangsaan pada alaf baharu bergantung pada khazanah pengetahuan  yang didukungnya dan proses lintas ilmu yang pantas dan cepat daripada tamadun dan kebudayaan dalam bahasa-bahasa lain di seluruh dunia seperti yang pernah dilakukan ketimka  Meiji  mulai berkuasa di Jepun. Tindakan itulah yang kemudiannya diikuti oleh pemerintah yang kemudian hingga ke hari ini apabila ilmu atau buku baru dengan cepat diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun.

    Tamadun besar dunia seperti China dan India bukannya dibina menggunakan bahasa asing, melainkan melalui bahasa peribumi. Dari segi ini, bahasa kebangsaan memainkan peranan besar sebagai wahana utama dalam pembentukan kebudayaan, peradaban dan tamadun bangsa. Bahasa bukan lagi sekadar sebagai alat komunikasi dan hubungan sosial, tetapi sebagai alat yang membentuk, merakamkan, membina dan menyampaikan fikiran bangsa dari satu generasi ke satu generasi.

    Tanpa bahasa kebangsaan sebagai alat pengungkapan tamadun bangsa, sesebuah negara tidak mungkin mencapai kemajuan ketamadunan bangsa. Kita perlu menoleh kepada sejarah untuk membuka mata sejauh mana bahasa kebangsaan di sesebuah negara yang maju seperti Korea Selatan, Jepun, Jerman, dan Perancis sejak berkurun-kurun lalu lagi telah membina tamadun bangsa berkenaan. Masyarakat yang bertamadun tinggi tidak akan lupa kepada khazanah dan harta bangsanya. Salah satu daripada khazanah berharga yang tidak harus dikorbankan, sebaliknya perlu dijaga dan dipupuk dengan bersungguh-sungguh ialah bahasa kebangsaan.

    Bahasa tidak akan mungkin maju atau tumbuh sendiri, melainkan kita sebagai pemegang amanah bangsa berusaha gigih untuk menggerakkan dan membinanya. Tidak mungkin bagi mana-mana bahasa kebangsaan mencapai tahap kemajuan yang seterusnya jika bangsa itu bersikap alpa dan tidak bersungguh-sungguh. Sebab, yang jelas, selain membina bahasa itu dari segi korpus dan taraf, sesuatu bangsa perlu berusaha memperluas penggunaannya dalam negara, sekali gus menebarkan sempadan penggunaannya di luar negara. Kalau bahasa itu lemah, mundur dan tidak berkembang, kelalaian dan kecuaian bangsa itulah yang menyebabnya dalam keadaan demikian.

    Bahasa Inggeris dapat melakukannya kerana terdapat strategi dan langkah agresif melalui pelbagai cara untuk menyebarkan dan memperluas penggunaannya dalam pelbagai bidang sehingga terdapat keperluan dalam kalangan masyarakat dunia untuk mempelajari dan menguasainya. Itulah sebabnya, bahasa kebangsaan negara seperti Amerika, Britain dan Kanada itu mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan warga global. Mengikut Naisbitt, 85 peratus percakapan telefon antarabangsa, 80 peratus data dalam beratus-ratus komputer, 70 peratussurat-menyurat, dan 60 peratus siaran radio di dunia adalah dalam bahasa Inggeris.

    Langkah yang silap tidak segera dilihat kesannya. Tetapi yang pasti kejadian yang menimpa beberapa buah negara termasuk di benua Afrika dan Eropah seharusnya dapat dijadikan iktibar betapa kita perlu menggerakkan bahasa kebangsaan yang berlandaskan bahasa peribumi sebagai penjana ilmu dan tamadun bangsa. Kita telah menyaksikan bagaimana elit politik di negara bekas penjajah telah memaksa rakyatnya untuk menggunakan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, dan mengetepikan bahasa kebangsaan yang kononya ‘kolot’ dan ‘kampungan’, tetapi untuk menyaksikan kemudiannya kegagalan dasar itu sehingga rakyat berpecah-belah dan negara mundur beberapa dekad selepas cengkaman penjajah terlepas.

    Sebab, hakikatnya, neokolonialisme oleh bangsa sendiri yang bertopengkan wajah penjajah tetap wujud dan mencengkam minda rakyatnya. Hakikatnya, tidak satu pun negara bekas jajahan yang menggunakan bahasa Inggeris dapat mencapai kemajuan. Kreativiti mereka menjadi mandul kerana mereka hanya mampu menjadi bangsa pengguna, dan bukannya bangsa pencipta dan pereka. Mereka tidak dapat mengungkapkan diri dalam bahasa penjajah. Sebab, bahasa itu tidak menyebar dan merakyat; sebaliknya hanya dikuasai dengan baik oleh elit bandar dan kosmopolitan yang begitu berpengaruh. Kesannya, penguasaan ilmu dalam bidang sains dan teknologi dalam kalangan terbanyak, terutama generasi muda di luar bandar pun terbantut. Atau adakah kita sengaja mahu menolak realiti? Kita tentu tidak mahu jurang sosioekonomi antara bandar dan luar bandar, dan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera terus melebar.

    Bahasa  kebangsaan pun dapat menjadi bahasa ilmu, bahasa tamadun tinggi, bahasa berprestij, bahasa global, dan bahasa abad ini dan masa depan jika kita mempunyai keyakinan, dengan memberikan pengiktirafan yang wajar kepadanya. Mana-mana negara tidak harus menjadi pemuja, pengagum dan pentaaksub nilai dan bahasa asing. Rakyat sesebuah negara sebenarnya lebih ekspresif, kreatif, dan komunikatif dalam bahasa kebangsaan. Dalam  konteks ini, bahasa kebangsaan berperanan sebagai wadah untuk memupuk semangat kecintaan terhadap negara. Melalui bahasa kebangsaan, semangat nasionalisme dan patriotisme dapat disemai dan dipupuk.

    Bahasa asing lain tidak mungkin dapat mengambil alih fungsi bahasa kebangsaan bahasa pengungkap dan perakam peradaban bangsa, iaitu bahasa yang akan merakamkan nilai budaya, sosial dan moral bersama yang tercipta di negara berkenaan. Fungsi ini dapat dilakukan oleh bahasa kebangsaan bukan sahaja dalam interaksi interetnik tetapi juga intraetnik. Bahasa asing, termasuk bahasa Inggeris hanya berperanan untuk mengimport dan mempelajari tamadun luar. Peranan bahasa bukan lagi sekadar sebagai alat komunikasi sosial, tetapi sebagai alat membentuk, membina, merakamkan, menyampaikan, dan memperkasa fikiran, budaya dan tamadun bangsa.

    Tanpa peranan demikian, peradaban tidak mungkin wujud, dan hanya bahasa kebangsaan sebagai bahasa peribumi yang dapat memenuhi fungsi tersebut. Globalisasi tidak seharusnya dibenarkan untuk mendekonstruksi wacana dan jati diri bangsa yang ternyata telah mulai mantap kedudukannya. Tindakan itu dapat menghancurkan wajah bangsa, terutama bagi negara bekas jajahan yang sekian lama  bergelut  untuk membebaskan diri daripada cengkaman fizikal dan minda kolonialisme.

    Dominiasi bahasa Inggeris berpotensi untuk menghambat perkembangan bahasa  kebangsaan sesebuah negara, apatah lagi apabila ia didukung kuat oleh pemimpin politik negara. Mengikut ramalan  Michael Krauss  daripada  6,784   bahasa yang dikenal pasti oleh Ethnologue, 50 peratus daripadanya, iaitu 3000 bahasa  akan pupus dalam  1,200 bulan!  Berupayakah bahasa kebangsaan lain mempertahankan jati dirinya ketika berdepan dengan globalisasi?  Hanya bahasa kebangsaan yang diberi kedudukan yang sewajarnya dalam pelbagai sektor mampu menangkis cabaran tersebut.

    Bahasa kebangsaan ialah lambang kebanggaan kebangsaan dan lambang identiti nasional, maka rakyat negara berkenaan menyemai sikap bahasa yang positif dan menjunjung bahasa itu sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Bahasa sebagai  tunjang penting kebudayaan dan tamadun bangsa sekali ugs memperlihatkan tahap kemajuan sesuatu negara.  Bagi negara ini, bahasa Melayu merupakan  wahana komunikasi dan bahasa kebangsaan yang mutlak dan paling efektif bagi rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan ialah pendorong dan pemangkin lambang pemersatu, serta berperanan sebagai wadah untuk membina peradaban moden sesuatu bangsa.

    Hanya melalui bahasa kebangsaan, sesebuah negara dapat menggambarkan diri sebagai  sesuatu bangsa secara utuh. Kalau tidak, bangsa itu adalah bagai bangsa yang tidak mempunyai wajah. Sesuatu bangsa tidak mungkin wujud dalam tabula rasa atau kepakuman. Bangsa tidak seharusnya hanya menjadi komuniti yang diimaginasikan; sebaliknya bangsa yang mampu mengharungi gelombang cabaran masa depan ialah bangsa yang jitu dan kukuh peribadinya. Kesedaaran kolektif bangsa dapat dibentuk melalui bangsa kebangsaan yang digunakan dengan meluas dalam semua bidang, meliputi pelbagai aspek kehidupan. Selain keteguhan busdaya, politik dan ekonomi, bahasa kebangsaan merupakan wadah penting sesuatu bangsa untuk memantapkan dan melonjakkan martabatnya dalam komuniti antarabangsa.

    Salah satu perkara yang perlu diberi penekanan ketika  mengharungi arus deras globalisasi ialah persoalan jati diri bangsa melalui bahasa kebangsaan, kerana bahasa menunjukkan bangsa.  Jadi, bahasa kebangsaan tidak seharusnya hanya dimaktubkan dalam perlembangaan negara, tetapi perlu dijunjung tinggi sebagai lambang jati diri dan maruah bangsa yang tidak boleh dikompromi. Hakikat bahawa bahasa kebangsaan merupakan tonggak utama dalam pembinaan bangsa dan tunjang perpaduan nasional, serta faktor utama dalam membangun peradaban dan tamadun moden tidak sehaurnysa dipandang ringan. Wajah, jati diri dan kemajuan sesuatu bangsa pada masa depan bergantung pada sikap generasi hari ini terhadap bahasa kebangsaan negaranya.

    Share and Enjoy:
    • Digg
    • del.icio.us
    • Facebook
    • NewsVine
    • Reddit
    • StumbleUpon
    • YahooMyWeb
    • Google Bookmarks
    • Yahoo! Buzz
    • TwitThis
    • Live
    • LinkedIn
    • Pownce
    • MySpace
  • Kuasa Roh Dakan Melanau
    By Jeniri Amir on June 4th, 2009 | 2 Comments2 Comments Comments

    Bagi masyarakat Melanau, terutama di Mukah dan Dalat, Sarawak, salah satu cara perubatan tradisional yang masih digunakan adalah dengan menggunakan dakan. Masyarakat Melanau terdiri daripada yang beragama Islam, Kristian dan Pagan yang juga dikenali sebagai Likow. Golongan Pagan dan sesetengah penganut Kristian masih lagi berubat dengan menggunakan dakan.

    Mengikut kepercayaan Melanau Likow, dunia terdiri daripada tiga lapisan, iaitu, dunia atas, pertengahan dan bawah. Di dalam ketiga-tiga lapisan itu terdapat unsur baik dan jahat. Makhluk halus yang terdapat di setiap lapisan itu perlu dipelihara supaya tidak mengganggu manusia.  Terdapat pelbagai jenis makhluk halus seperti duhig, tow, ipok, dan jin. Jika unsur jahat berkenaan diganggu,  besar kemungkinan ia akan mengganggu manusia , dan boleh menyebabkan mereka diserang penyakit. Makhluk halus itu dipercayai mendiami kawasan muara sungai, laut, hutan, bukit, gunung dan pokok tertentu. Makhluk halus tidak dapat dihubungi manusia biasa, kecuali dukun atau bomoh seperti a-bayoh.

    Masyarakat Melanau menggunakan pelbagai cara tradisional untuk mengubati penyakit, termasuk memaku, berbayuh, beguda, payun, dan menggunakan dakan. Cara pengubatan tertakluk kepada jenis dan ketenatan penyakit yang dihidapi. Yang pasti, bagi Melanau Likow terutamanya, manusia merupakan gabungan daripada empat unsur, iaitu badan, roh, perasaan dan nyawa. Keseimbangan keempat-empat unsur itu penting bagi menjamin bahawa seseorang itu sentiasa sihat. Kepercayaan umum dalam masyarakat Melanau Likow ialah jika sesuatu penyakit itu tidak dapat diubati dengan cara moden, maka penyakit itu adalah disebabkan oleh makhluk halus atau kuasa ghaib.

    Dukun yang menggunakan dakan sebagai cara perubatan masih lagi diamalkan oleh Melanau Liko dan Kristian. . Dakan, patung pelbagai bentuk menyerupai bermacam-macam roh atau semangat dibuat daripada empulur atau dahan pokok rumbia atau kayu yang lembut. Meskipun jumlah pengukir dan bomoh yang mahir menggunakan dakan semakin pupus, dakan tetap digunakan untuk mengubati penyakit yang sukar diubati dengan cara moden di beberapa buah kampung di Mukah dan Dalat. Kini, terdapat tidak lebih daripada lima orang lagi yang masih hidup.

    Dukun berkenaan biasanya mendapat kemahiran itu daripada mimpi. Pateran Lebai yang ditemu bual sebulan sebelum meninggal dunia baru-baru ini mengakui bahawa beliau telah sakit tenat dan perlu menjalani acara payun, upacara perubatan tradisional yang memakan masa tujuh malam berturut-turut, sebelum dianugerahkan dengan kepakaran dan kelebihan tersebut.

    Terdapat sekitar 115 jenis dakan yang melambangkan pelbagai jenis roh.  Dakan mempunyai fitur tertentu dan sesuatu dakan diukir oleh dukun  setelah mendapat petunjuk. Kebanyakan dakan diukir dalam bentuk tubuh manusia dan reptilia. Nama sesuatu dakan berkaitan rapat dengan tempat kediaman rohnya seperti awan, laut, air, hutan dan darat. Nama tersebut membantu pengukir dakan mengingati fitur dan fungsi dakan berkenaan. Setiap dakan dapat dikenal pasti berdasarkan ciri ukiran. Umpamanya, berdasarkan kedudukan kaki dan tangannya, selain sama ada dakan itu berdiri, duduk atau mencangkung.

    Adakah tangannya diletakkan di dada, memegang kepala,  perut atau lutut?  Jika dakan itu  memegang kepala, hal ini bermakna ia adalah untuk mengubati penyakit yang ada kaitan dengan sakit kepala, manakala dakan yang tangannya memegang perut, sudah tentu untuk mengubati sakit perut. Roh wanita digambarkan melalui dakan yang berambut panjang dengan kaki berlipat ke dalam, dan roh laut biasanya digambarkan melalui dakan yang duduk di atas ikan pari. Dakan yang diukir berdiri bermakna bahawa roh jahat berkenaan besar kemungkinan boleh berjalan di dalam hutan. Meskipun dakan memiliki pelbagai ciri atau fitur, satu hakikat adalah pasti: kebanyakan dakan adalah berkepala besar dan dakan mempunyai mata.

    Dalam hubungan ini, dakan gelap daat, misalnya digunakan untuk mengubati orang yang tidak siuman sesudah balik dari laut, manakala dakan jakan digunakan untuk mengubati orang yang sakit bisa-bisa pada anggota tertentu, misalnya pada mata dan pinggang.  Dakan pulun adalah untuk mengubati mereka yang selalu bangun dan bercakap seorang diri sewaktu tidur. Dakan putih anak pula digunakan untuk menyembuhkan wanita hamil yang keluar darah, dan mengubati lelaki yang gatal-gatal di seluruh badan. Biasanya dakan berkenaan dimandikan dan airnya digunakan untuk mengelapkan badan pesakit. Selepas digunakan dakan jenis ini perlu diletakkan di bawah rumah, dan bukannya dihanyutkan di dalam sungai atau diletakkan di bawah pokok seperti dakan lain.

    Ada dukun yang perlu tidur selama sekitar 10 minit untuk mendapat ilham sebelum dakan yang sesuai diukir bagi menyembuhkan penyakit. Biasanya dukun mengambil masa sekitar setengah jam untuk mengukir dakan, yang mempunyai ketinggian 4 hingga 18 inci. Kemudian, dukun akan membaca mantera yang berbunyi, “kieng sigieng mata no”, bermakna buka matamu supaya engkau dapat melakukan sesuatu seperti diminta oleh si pesakit.  Dakan berkenaan akan dimandikan dan disemburkan dengan sirih dan pinang yang telah dikunyahkan oleh dukun.

    Dukun akan menjampi dakan dan membuka mata dakan yang diukir. Dakan yang sudah dijampi perlu dihormati dan diletakkan di tempat yang sesuai, seperti di bawah pokok tertentu di tepi sungai ataupun dihanutkan di dalam sungai. Dakan itu tidak boleh diganggu seperti dipukul atau dirosakkan oleh sesiapa pun. Sesiapa yang melakukan perbauatan yang dianggap tidak menghormati dakan akan terkena penyakit yang sukar diubati. Dipercayai bahawa roh jahat akan mengamuk dan mengganggu individu berkenaan.

    Bagi si pesakit, terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi. Dia tidak boleh membawa parang turun dari rumah, makan ikan yu, pari dan ikan sejenis, dan makan makanan yang dihangatkan kembali. Dia juga tidak boleh masuk ke dalam rumai salai atau belanga, tempat memproses sagu. Selain itu, kaum keluarga dilarang memanjat atau menebang pokok yang berdekatan dengan rumah tempat tinggal si pesakit. Segala pantang larang ini bertujuan untuk memastikan bahawa si pesakit tidak jatuh sakit kembali atau sulek. Jika tidak, proses pengubatannya adalah lebih sukar; kalau tidak pun, dipercayai bahawa tindakan tersebut boleh membawa maut.

    Sebagai ganjaran, bomoh biasanya perlu diberi upah seperti sebilah pisau duit syiling, seekor ayam, jarum dan tali putih. Upah tersebut penting bagi menguatkan semangat bomoh yang perlu menghadapi kuasa ghaib yang dihadapinya.

    Seorang pengamal perubatan tradisional Melanau di Kampung Sesok, Anthony Jerami berkata kebanyakan penyakit yang diubati menggunakan dakan merupakan penyakit yang tidak nampak secara mata kasar. Katanya, setiap penyakit memerlukan dakan yang berbeza bentuk dan fiturnya

    “Terdapat lebih daripada 100  dakan yang dapat mengubati pelbagai jenis penyakit. Dakan biasanya dibuat daripada empulur pokok rumbia atau dahan rumbia kerana mudah diukir. Dakan yang telah digunakan perlu dihormati dan diletakkan di tempat yang sesuai. Jika tidak, semangat dakan boleh menyerang orang yang tidak menghormatinya. Jangan sama sekali memukul dakan atau merosakkannya,” katanya.

    Pesakit yang menggunakan khidmat dukun yang pandai menggunakan dakan ialah mereka yang diserang penyakit pelik seperti diganggu jin dan penunggu. Meskipun populariti dakan semakin terhakis  namun masih ada yang menggunakan khidmat perubatan tradisional ini setelah gagal dengan cara perubatan moden. Yang menarik, bukan hanya kaum Melanau yang mendapatkan khidmat dukun berkenaan, tetapi juga pesakit daripada masyarakat Iban dan Cina.

    Cara pengubatan tradisional dengan menggunakan dakan semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Melanau sesuai dengan perubahan yang dialami oleh masyarakat itu. Semakin banyak kaum Melanau yang memeluk agama Kristian atau Islam. Pengaruh perubatan moden juga turut menyebabkan dakan semakin terpinggir. Adakah suatu hari nanti dakan  akan hanya menjadi objek hiasan? Atau dakan akan hanya menjadi cenderamata yang akan dibeli oleh para pelancong? Besar kemungkinan, dakan akan menjadi artifak yang dihimpunkan di dalam muzium dalam tempoh kurang daripada sepuluh tahun lagi.

    Share and Enjoy:
    • Digg
    • del.icio.us
    • Facebook
    • NewsVine
    • Reddit
    • StumbleUpon
    • YahooMyWeb
    • Google Bookmarks
    • Yahoo! Buzz
    • TwitThis
    • Live
    • LinkedIn
    • Pownce
    • MySpace
  • Keuntungan Sebagai Perucap
    By Jeniri Amir on June 2nd, 2009 | 2 Comments2 Comments Comments

    Anda tentu ingin tahu, apa faedah yang bakal diperoleh sebagai perucap awam? Anda mahu dikenali ramai, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat? Kemahiran sebagai perucap awam mampu meningkatkan kemahiran peribadi dan sosial. Sering orang yang bijak bercakap di khalayak ramai, dikagumi. Mereka dianggap sebagai orang pandai. Bukan mengejutkan, kemahiran bercakap di khalayak ramai akan membantu meningkatkan kerjaya dan memudahkan idea disampaikan kepada pihak lain.

    Kemahiran ini juga membantu anda dalam interaksi sosial. Ia dapat meningkatkan kemahiran personal, interpersonal dan sosial, serta tahap keyakinan diri dan daya kepemimpinan. Ingat, daripada 10 jam anda berjaga, sekitar tujuh jam digunakan untuk berkomunikasi; dan tiga suka daripada komunikasi tersebut adalah dalam bentuk ucapan. Maknanya, seseorang bercakap sekitar 34,000 perkataan sehari, iaitu lebih daripada 12 juta perkataan dalam sehari. Tukarkan jumlah itu ke dalam bentuk buku!

    Bagaimanakah kemahiran berucap dapat membantu dalam kerjaya?  Di organisasi tempat anda bertugas, anda tidak dapat mengelak daripada berucap termasuk dalam mesyuarat.  Sekali-sekala anda tentu diminta membentangkan laporan, bercakap sebagai ahli panel forum, dan menyampaikan ucapan dalam majlis tertentu, termasuk perayaan ulang tahun rakan atau organisasi.

    Secara tidak langsung, kemahiran anda dalam aspek lain juga akan dapat ditingkatkan. Misalnya, anda akan dapat menjalankan penyelidikan dengan lebih berkesan, menyampaikan fikiran dengan lebih baik, serta berhadapan dengan orang lain dengan lebih meyakinkan. Pengucapan awam akan turut meningkatkan kemahiran anda berkomunikasi sehingga anda dapat menyesuaikan mesej dan cara berucap mengikut khalayak. Anda akan dapat membina kemahiran logik, berkomunikasi dengan lebih yakin dan berwibawa. Kemahiran bahasa dapat dipertajam, manakala stail penyampaian dapat diperbaiki.  Kemahiran berucap diperoleh melalui latihan, latihan, dan latihan.

    Bagi mereka yang pakar dalam sesuatu bidang dan mahir berucap, sudah tentu akan diundang ke pelbagai majlis seperti seminar, bengkel, kursus, dan ceramah. Sesetengah penceramah menjadi kaya dan bergelar jutawan, serta begitu dikenali ramai kerana kemahiran tersebut. Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Dr. Fadzilah Kamsah dan Dr. Shukri Abdullah? Jadi, melalui kemahiran ini siapa tahu anda juga akan dapat meraih pendapatan sampingan? Malah, siapa tahu tiga tahun dari sekarang, berceramah dan berucap di khalayak ramai menjadi kerjaya anda, cara anda mencari rezeki?  Di negara ini ada orang dibayar seratus ringgit sejam kerana bercakap, tetapi ada juga memperoleh RM6,000 sejam? Tentu dalam diam-diam ada orang yang dibayar lebih daripada itu.

    Di Barat, ada yang sampai mencecah ratusan ribu dolar Amerika. Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), misalnya, banyak diundang ke pelbagai tempat, dan beliau meraih pendapatan yang tinggi daripada ucapannya. George Will, penceramah terkenal di AS,  mengenakan bayaran AS$15,000 bagi sekali ucapan. Stephen Covey penulis buku The 7 Habits of Highly Effective People merupakan penceramah terkenal. Buku itu tersenarai sebagai bestseller di akhbar New York Times selama 274 minggu. Buku itu laris sebanyak 12 juta naskhah.  Beliau banyak diundang memberi ceramah oleh pelbagai pihak di pelbagai negara di dunia ini. Bayaran yang dikenakan oleh beliau adalah antara AS$20,000 hingga AS$135,000 untuk satu ceramah atau ucapan.

    Seorang lagi perucap motivasi yang luar biasa hebatnya ialah Anthony Robbins. Ucapannya disebarkan kepada jutaan orang di seluruh dunia melalui seminar, alat audio, video, buku, rancangan televisyen dan lain-lain. Lebih daripada 150 hari setahun digunakannya untuk memberi seminar dalam setahun untuk peserta daripada pelbagai latar belakang - ya, mereka yang sanggup membayar beliau RM365,000 dalam sehari. Dalam tempoh 20 tahun lalu, beliau telah mengendalikan seminar di sekitar 65 buah negara untuk lebih daripada 20,000 peserta!

    Anda bagaimana?

    Share and Enjoy:
    • Digg
    • del.icio.us
    • Facebook
    • NewsVine
    • Reddit
    • StumbleUpon
    • YahooMyWeb
    • Google Bookmarks
    • Yahoo! Buzz
    • TwitThis
    • Live
    • LinkedIn
    • Pownce
    • MySpace
  • Terjemahan buku memacu ilmu
    By Jeniri Amir on May 25th, 2009 | No Comments Comments

    Anda tahu berapa judul buku yang menyaksikan matahari setiap hari? Setiap 30 saat, setiap hari, sekitar 4000 buku baharu diterbitkan di seluruh dunia. Sekitar 1.5 juta judul baharu menemui pembaca setiap tahun.  Sejak mesin Gutenberg dicipta pada 1450, sebanyak 50 juta judul buku telah diterbitkan di planet bumi.  Jika anda berhasrat untuk membaca semua buku itu, anda perlu hidup 250,000 tahun. Malah, kalaupun anda hanya membaca judul sahaja, anda memerlukan 15 tahun!

    Sesungguhnya, kita masih jauh di belakang dari segei penerbitan dan penterjemahan buku. Amerika Syarikat, gergasi utama dalam dunia penerbitan menerbitkan 150,000 judul setahun, dengan 17 judul setiap jam, termasuk pada hari Sabtu dan Ahad. Negara itu mendahulu gergasi lain iaitu Jerman, Britain, Perancis, dan Jepun. Namun, jika angka 1994 diambil kira, negara Uncle Sam itu mengecewakan dari segi penterjemahan. Daripada sekitar 40,500 judul yang diterbitkan, hanya 1,124 ialah buku terjemahan.

    Pada tahun 1986 hanya sebanyak sekitar 62,000 judul buku terjemahan diterbitkan di seluruh dunia, dengan Sepanyol menjadi negara paling giat melakukan terjemahan, dengan menerbitkan sebanyak sekitar 10,000 judul terjemahan. Rusia menterjemahkan sebanyak sekitar 8,200 judul karya terjemahan, diikuti Jerman sebanyak 8,140 judul, dan Belanda sebanyak hampir 4,000 judul. Jepun yang selama ini kita anggap begitu maju dari segi terjemahan berada di tangga kelima, dengan hanya sekitar 3,950 judul.

    Di manakah kedudukan kita di tengah-tengah gergasi itu?  Dalam tempoh sepuluh tahun, dari 1983 hingga 1993, kita hanya mampu menterjemahkan sekitar 1,900 judul, jauh di belakang lima negara teratas dalam dunia penterjemahan tadi.

    Penubuhan Institut Terjemahan Negara (ITNM) Malaysia pada 1993, seolah-olah tiodak mampu menyelesaikan masalah. Maksudnya, purata sekitar 170 judul terjemahan diterbitkan setiap tahun. Trend dan status sekarang tidak jauh berubah, kalaupun tidak merosot. Bahagian Terjemahan perlu diwujudkan semula di DBP, dan pihak penerbit universiti perlu turut membantu dengan tidak hanya menerbitkan buku asli.

    Sejak penubuhannya hingga 2004, ITNM hanya menerbitkan sekitar 500 judul buku sahaja. Sebahagian besar buku yang diterjemahkan ialah buku pendidikan, diikuti buku sastera, sans politik, sains, dan teknologi maklumat. Sejajar dengan pola di peringkat dunia, rata-rata karya terjemahan tersebut adalah bersumberkan bahasa Inggeris. Sementara itu, Korea Selatan dengan penduduk sebanyak 40 juta jiwa mampu menerbitkan 40,000 judul. Negara jiran, Thailand  dengan 64 juta penduduk secara purata menebitkan 30,000 judul, Filipina 15,000 judul, dan kini Indonesia dengan 230 juta penduduk hanya mampu menerbitkan 10,000 judul setahun.

    Senario dunia terjemahan di Malaysia kian muram, dengan tidak banyak buku, baik buku ilmiah mahupun buku fiksyen, termasuk novel bermutu dan karya agung diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Tentu sesuatu yang menakjubkan, bagaimana negara yang sering kita pandang rendah dari segi penerbitan dan penterjemahan kerana kejahilan kita, iaitu Indonesia,  begitu pantas dan banyak menerbitkan buku terjemahan, termasuk buku falsafah.

    Berapa banyakkah buku agung dalam bidang sains, politik, falsafah, seni, dan ratusan lagi dalam bahasa aisng telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu?

    Buku  terjemahan di Malaysia kebanyakannya bersumberkan bahasa Inggeris seolah-olah hanya karya dalam bahasa Inggeris yang mempunyai kualiti. Walhal, ribuan lagi karya  dalam bahasa asing lain yang tidak kurang mutunya. Adakah ini berunca daripada kejahilan kita, atau kita memang tidak menguasai bahasa tersebut? Atau, kita terlalu condong kepada bahasa Inggeris, kerana menganggap bahawa hanya karya dalam bahasa itu yang hebat?

    Dalam dunia multibahasa dan multibudaya, salah satu strategi yang berkesan untuk mewujudkan persefahaman, perpaduan, dan tolak ansur adalah melalui bidang penterjemahan. Apatah lagi di dunia ini, terdapat sekurang-kurangnya 7,000 bahasa. Di rantau Asia Pasifik sahaja terdapat sekurang-kuirangnya 1,000 bahasa di 70 buah negara.

    Tanpa penterjemahan, sesebuah kumpulan etnik dan negara akan terpulau dalam dunianya sendiri, sedangkan dalam zaman globalisasi, itu adalah sesuatu yang mustahil. Terjemahan dapat merapatkan jurang pemisah dan merungkaikan tembok perbezaan, dan melaluinya, kita akan dapat membina persefahaman.

    Yang tidak kurang pentingnya, dengan adanya terjemahan, kita dapat membina korpus dan khazanah ilmu dalam sesuatu bidang, yang tidak atau belum lagi maju di negara ini. Buku dan penerbitan merupakan proses penting dalam pertukaran maklumat dan ilmu. Kita perlu melipatgandakan usaha untuk melakukan penterjemahan buku, kerana buku meurpakan wadah ilmu yang paling berkesan. Kemajuan dan kiebangkitan sesuatu bangsa banyak ditentukan oleh keupayaannya menyalurkan ilmu kepada semua peringkat masyarakatnya.

    Berdasarkan UNESCO Cultural Statistic Yearbook, bahasa sumber utama dalam bidang penterjemahan ialah bahasa Inggeris. Lebih daripada 50 peratus terjemahan di Jerman ialah daripada bahasa Inggeris, berbanding 70 peratus masing-masingnya di Norway dan di Sweden.

    Malah, sebanyak 50 peratus daripada buku yang diterjemahkan di seluruh dunia adalah daripada bahasa Inggeris, manakala hanya tiga peratus daripada bahasa lain ke dalam bahasa Inggeris. Hal ini memperlihatkan ketidakseimbangan dalam kegiatan terjemahan, sekali gus pengaliran maklumat, ilmu dan budaya dunia. Hanya 10 peratus terjemahan masing-masingnya adalah daripada bahasa Jerman dan bahasa Perancis.

    ——————————————————————————————–

    DR. JENIRI AMIR memberi panduan percuma tentang pernulisan, ucapan, laporan, terjemahan dan banyak lagi di blog beliau. Beliau juga memberi kursus Pengucapan Awam di Universiti Malaysia Sarawak dan banyak diundang untuk menjadi fasilitator kursus dan bengkel pengucapan awam dan penulisan berkesan di seluruh negara. Beliau ialah penulis buku terlaris dan penerima Anugerah Buku Negara 2005.

    Share and Enjoy:
    • Digg
    • del.icio.us
    • Facebook
    • NewsVine
    • Reddit
    • StumbleUpon
    • YahooMyWeb
    • Google Bookmarks
    • Yahoo! Buzz
    • TwitThis
    • Live
    • LinkedIn
    • Pownce
    • MySpace