Logo Background RSS

» Agama Dan Budaya

  • Bahasa kebangsaan lambang jati diri bangsa
    By Jeniri Amir on June 6th, 2009 | 3 Comments3 Comments Comments

    Sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat lazimnya memerlukan bahasa, lagu, negara, atau bendera sebagai lambang kemerdekaan dan kedaulatannya. Pengiktirafan dan penerimaan lambang kebangsaan berkenaan oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, agama, dan budaya di negara berkenaan amat penting dari segi pembentukan negara bangsa. Negara berkenaan perlu menyemai dan mengukuhkan nilai kolektif yang menjadi hak dan ikon bersama. Sesungguhnya, bahasa kebangsaan merupakan wahana simbolik semangat kebangsaan yang paling berkesan.

    Negara sebagai kesatuan geopolitik, tidak selalu identik sebagai kesatuan sosiobudaya. Justeru, bahasa kebangsaan bertindak sebagai alat pemersatu, selain untuk menimbulkan kesedaran tentang identiti di peringkat kebangsaan. Bahasa kebangsaan yang diideologikan melalui kuasa politik itu dijadikan sebagai lambang persatuan demi pergerakan rakyat. Alexis de Tocqueville menyatakan, ‘ikatan bahasa mungkin merupakan ikatan yang paling teguh dan paling tahan lama yang dapat menyatukan manusia.’

    Dalam konteks negara ini, kepentingan bahasa kebangsaan telah mulai disedari oleh Perdana Menteri pertama.  Tunku Abdul Rahman  menyatakan bahawa “adalah wajar bagi kita sebuah negara membangun berhasrat mempunyai bahasa kita sendiri. Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian - apa yang boleh saya ungkapkan sebagai negara yang tidak mempunyai jiwa dan roh.”

    Bukan sebarang bahasa boleh diangkat sebagai bahasa kebangsaan.  Nida E.A (1975) menghuraikan tiga ciri yang perlu ada pada setiap bahasa kebangsaan. Pertama, perlunya bahasa itu berkecuali dari segi politik; kedua, ia hendaklah ada kaitan dengan pelbagai bahasa di rantau itu; dan ketiga, terdapat bilangan ketara penutur supaya mereka dapat menjadi penutur contoh kepada orang lain untuk mempelajarinya.

    Tanpa satu bahasa yang dapat difahami dan dikuasai oleh seluruh rakyat sebagai alat pemersatu dan pengikat jiwa rakyat, negara itu tidak akan dapat mencapai kemajuan, sebagaimana yang dialami oleh negara India dan negara-negara Afrika. Laporan Bank Dunia pada tahun 1999, misalnya, menarik untuk meninjau kaitan taraf kemajuan sesebuah negara dengan dasar bahasa kebangsaannya.

    Negara yang menggunakan bahasa peribumi sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kelihatan berada pada kedudukan yang baik dari segi penarafan Keluaran Dalam Negara Kasar. Jepun, Perancis, dan Jerman  berada pada kedudukan penarafan lima teratas. Fafunwa (1989) menegaskan bahawa terdapat korelasi antara kemunduran dan penggunaan bahasa asing sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara tertentu benua Afrika. Negara paling miskin di Afrika telah memilih bahasa Perancis atau bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan mereka.

    Negara yang tidak mempunyai bahasa kebangsaan ialah negara yang ketiadaan jiwa dan roh. Negara itu pasti akan berhadapan dengan masalah untuk menyatukan penduduknya. Dengan bahasa, nilai dan kepentingan yang berbeza, rakyat akan mudah saling bercakaran. Pergolakan sosial akan berlaku, dan ini akhirnya akan memudaratkan negara itu dari segi politik, sosial dan ekonomi. Sebaliknya, dengan adanya bahasa kebangsaan sebagai lingua franca, rakyat pelbagai etnik akan dapat disatukan, penduduk pelbagai daerah akan dapat diikat, dan kota dan desa akan dapat dijambatani. Singkatnya, bahasa kebangsaan dapat menyerap mesra ke dalam seluruh pelosok kehidupan masyarakat, berbanding dengan dialek etnik atau bahasa asing. Bahasa kebangsaan akan dapat dijadikan sebagai alat komunikasi utama, selain sebagai wadah yang mendukung perkembangan ilmu dan pemikiran bangsa dalam segala bidang.

    Memang banyak faktor yang membina identiti sesuatu bangsa seperti tradisi, agama, sosiobudaya, amalan dan bahasa. Bahasa memang menunjukkan bangsa. Bahasa kebangsaan merupakan salah satu ciri utama yang membezakan sesuatu bangsa dengan bangsa lain, dan sebuah negara dengan negara lain. Sebagai negara yang berdaulat dan merdeka, sesebuah negara  memerlukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa alat dan mangkin untuk membentuk jati diri dan keperibadian sebagai negara bangsa.

    Bahasa merupakan ciri yang menentukan identiti seseorang pada peringkat negara dan antarabangsa. Kata-kata ‘bahasa jiwa bangsa’  bukan sekadar slogan, tetapi ciri utama yang menentukan jati diri ‘kebangsaan’ sesuatu bangsa itu. Ternyata, bahasa kebangsaan merupakan alat penting untuk membentuk dan mengembangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa. Itulah sebabnya, amat penting bagi mana-mana negara untuk memajukan bahasa kebangsaannya, dengan meenjadikannya sebagai agenda utama pembangunan negara, sebagaimana ia memajukan lapangan lain seperti sains, teknologi, pertanian dan pembangunan prasarana.

    Sebagai masyarakat multietnik, masyarakat dalam sesebuah negara adalah terbahagi-bahagi mengikut ideologi, kepercayaan, agama, bahasa dan seumpamanya. Dalam keadaan yang demikian, peranan bahasa kebangsaan sebagai  alat untuk menyatukan pelbagai suku kaum amat dituntut.   Melalui bahasa kebangsaan sesebuah negara dapat membina keperibadian dan tamadun mengikut acuannya sendiri - sesuai dengan aspirasi, latar sejarah dan budaya rakyatnya.

    Sesuatu bangsa perlu memajukan bangsa dan tamadunnya melalui bahasanya sendiri. Sesuatu  negara perlu memajukan bangsanya bukannya mengikut acuan orang lain, sebaliknya hendaklah memajukannya mengikut acuan yang sesuai dengan aspirasi, budaya, nilai, falsafah dan weltanschaungnya. Dalam hubungan ini, ia perlu menggunakan bahasa kebangsaan sendiri kerana bahasa bukan sekadar lambang, tetapi ialah cerminan jati diri, kerana sesungguhnya bahasa menunjukkan bangsa. Akhirnya, kemajuan bangsa bergantung pada acuannya sendiri, dan kemajuan bahasa kebangsaan juga bergantung pada sejauh mana ia digunakan dalam seluruh kehidupan negara berkenaan. Sesungguhnya, tidak ada bangsa dan tamadun  di dunia ini yang dimajukan  melalui bahasa asing, melainkan melalui bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan.

    Bahasa asing  perlu digunakan sebagai alat untuk mendapatkan ilmu dan menghubungkannya dengan  tamadun luar kerana bangsa dan bahasa tidak dapat dipisahkan dalam proses pembinaan tamadun atau kemajuan manusia. Kejayaan dan keagungan bahasa  kebangsaan pada alaf baharu bergantung pada khazanah pengetahuan  yang didukungnya dan proses lintas ilmu yang pantas dan cepat daripada tamadun dan kebudayaan dalam bahasa-bahasa lain di seluruh dunia seperti yang pernah dilakukan ketimka  Meiji  mulai berkuasa di Jepun. Tindakan itulah yang kemudiannya diikuti oleh pemerintah yang kemudian hingga ke hari ini apabila ilmu atau buku baru dengan cepat diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun.

    Tamadun besar dunia seperti China dan India bukannya dibina menggunakan bahasa asing, melainkan melalui bahasa peribumi. Dari segi ini, bahasa kebangsaan memainkan peranan besar sebagai wahana utama dalam pembentukan kebudayaan, peradaban dan tamadun bangsa. Bahasa bukan lagi sekadar sebagai alat komunikasi dan hubungan sosial, tetapi sebagai alat yang membentuk, merakamkan, membina dan menyampaikan fikiran bangsa dari satu generasi ke satu generasi.

    Tanpa bahasa kebangsaan sebagai alat pengungkapan tamadun bangsa, sesebuah negara tidak mungkin mencapai kemajuan ketamadunan bangsa. Kita perlu menoleh kepada sejarah untuk membuka mata sejauh mana bahasa kebangsaan di sesebuah negara yang maju seperti Korea Selatan, Jepun, Jerman, dan Perancis sejak berkurun-kurun lalu lagi telah membina tamadun bangsa berkenaan. Masyarakat yang bertamadun tinggi tidak akan lupa kepada khazanah dan harta bangsanya. Salah satu daripada khazanah berharga yang tidak harus dikorbankan, sebaliknya perlu dijaga dan dipupuk dengan bersungguh-sungguh ialah bahasa kebangsaan.

    Bahasa tidak akan mungkin maju atau tumbuh sendiri, melainkan kita sebagai pemegang amanah bangsa berusaha gigih untuk menggerakkan dan membinanya. Tidak mungkin bagi mana-mana bahasa kebangsaan mencapai tahap kemajuan yang seterusnya jika bangsa itu bersikap alpa dan tidak bersungguh-sungguh. Sebab, yang jelas, selain membina bahasa itu dari segi korpus dan taraf, sesuatu bangsa perlu berusaha memperluas penggunaannya dalam negara, sekali gus menebarkan sempadan penggunaannya di luar negara. Kalau bahasa itu lemah, mundur dan tidak berkembang, kelalaian dan kecuaian bangsa itulah yang menyebabnya dalam keadaan demikian.

    Bahasa Inggeris dapat melakukannya kerana terdapat strategi dan langkah agresif melalui pelbagai cara untuk menyebarkan dan memperluas penggunaannya dalam pelbagai bidang sehingga terdapat keperluan dalam kalangan masyarakat dunia untuk mempelajari dan menguasainya. Itulah sebabnya, bahasa kebangsaan negara seperti Amerika, Britain dan Kanada itu mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan warga global. Mengikut Naisbitt, 85 peratus percakapan telefon antarabangsa, 80 peratus data dalam beratus-ratus komputer, 70 peratussurat-menyurat, dan 60 peratus siaran radio di dunia adalah dalam bahasa Inggeris.

    Langkah yang silap tidak segera dilihat kesannya. Tetapi yang pasti kejadian yang menimpa beberapa buah negara termasuk di benua Afrika dan Eropah seharusnya dapat dijadikan iktibar betapa kita perlu menggerakkan bahasa kebangsaan yang berlandaskan bahasa peribumi sebagai penjana ilmu dan tamadun bangsa. Kita telah menyaksikan bagaimana elit politik di negara bekas penjajah telah memaksa rakyatnya untuk menggunakan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, dan mengetepikan bahasa kebangsaan yang kononya ‘kolot’ dan ‘kampungan’, tetapi untuk menyaksikan kemudiannya kegagalan dasar itu sehingga rakyat berpecah-belah dan negara mundur beberapa dekad selepas cengkaman penjajah terlepas.

    Sebab, hakikatnya, neokolonialisme oleh bangsa sendiri yang bertopengkan wajah penjajah tetap wujud dan mencengkam minda rakyatnya. Hakikatnya, tidak satu pun negara bekas jajahan yang menggunakan bahasa Inggeris dapat mencapai kemajuan. Kreativiti mereka menjadi mandul kerana mereka hanya mampu menjadi bangsa pengguna, dan bukannya bangsa pencipta dan pereka. Mereka tidak dapat mengungkapkan diri dalam bahasa penjajah. Sebab, bahasa itu tidak menyebar dan merakyat; sebaliknya hanya dikuasai dengan baik oleh elit bandar dan kosmopolitan yang begitu berpengaruh. Kesannya, penguasaan ilmu dalam bidang sains dan teknologi dalam kalangan terbanyak, terutama generasi muda di luar bandar pun terbantut. Atau adakah kita sengaja mahu menolak realiti? Kita tentu tidak mahu jurang sosioekonomi antara bandar dan luar bandar, dan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera terus melebar.

    Bahasa  kebangsaan pun dapat menjadi bahasa ilmu, bahasa tamadun tinggi, bahasa berprestij, bahasa global, dan bahasa abad ini dan masa depan jika kita mempunyai keyakinan, dengan memberikan pengiktirafan yang wajar kepadanya. Mana-mana negara tidak harus menjadi pemuja, pengagum dan pentaaksub nilai dan bahasa asing. Rakyat sesebuah negara sebenarnya lebih ekspresif, kreatif, dan komunikatif dalam bahasa kebangsaan. Dalam  konteks ini, bahasa kebangsaan berperanan sebagai wadah untuk memupuk semangat kecintaan terhadap negara. Melalui bahasa kebangsaan, semangat nasionalisme dan patriotisme dapat disemai dan dipupuk.

    Bahasa asing lain tidak mungkin dapat mengambil alih fungsi bahasa kebangsaan bahasa pengungkap dan perakam peradaban bangsa, iaitu bahasa yang akan merakamkan nilai budaya, sosial dan moral bersama yang tercipta di negara berkenaan. Fungsi ini dapat dilakukan oleh bahasa kebangsaan bukan sahaja dalam interaksi interetnik tetapi juga intraetnik. Bahasa asing, termasuk bahasa Inggeris hanya berperanan untuk mengimport dan mempelajari tamadun luar. Peranan bahasa bukan lagi sekadar sebagai alat komunikasi sosial, tetapi sebagai alat membentuk, membina, merakamkan, menyampaikan, dan memperkasa fikiran, budaya dan tamadun bangsa.

    Tanpa peranan demikian, peradaban tidak mungkin wujud, dan hanya bahasa kebangsaan sebagai bahasa peribumi yang dapat memenuhi fungsi tersebut. Globalisasi tidak seharusnya dibenarkan untuk mendekonstruksi wacana dan jati diri bangsa yang ternyata telah mulai mantap kedudukannya. Tindakan itu dapat menghancurkan wajah bangsa, terutama bagi negara bekas jajahan yang sekian lama  bergelut  untuk membebaskan diri daripada cengkaman fizikal dan minda kolonialisme.

    Dominiasi bahasa Inggeris berpotensi untuk menghambat perkembangan bahasa  kebangsaan sesebuah negara, apatah lagi apabila ia didukung kuat oleh pemimpin politik negara. Mengikut ramalan  Michael Krauss  daripada  6,784   bahasa yang dikenal pasti oleh Ethnologue, 50 peratus daripadanya, iaitu 3000 bahasa  akan pupus dalam  1,200 bulan!  Berupayakah bahasa kebangsaan lain mempertahankan jati dirinya ketika berdepan dengan globalisasi?  Hanya bahasa kebangsaan yang diberi kedudukan yang sewajarnya dalam pelbagai sektor mampu menangkis cabaran tersebut.

    Bahasa kebangsaan ialah lambang kebanggaan kebangsaan dan lambang identiti nasional, maka rakyat negara berkenaan menyemai sikap bahasa yang positif dan menjunjung bahasa itu sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Bahasa sebagai  tunjang penting kebudayaan dan tamadun bangsa sekali ugs memperlihatkan tahap kemajuan sesuatu negara.  Bagi negara ini, bahasa Melayu merupakan  wahana komunikasi dan bahasa kebangsaan yang mutlak dan paling efektif bagi rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan ialah pendorong dan pemangkin lambang pemersatu, serta berperanan sebagai wadah untuk membina peradaban moden sesuatu bangsa.

    Hanya melalui bahasa kebangsaan, sesebuah negara dapat menggambarkan diri sebagai  sesuatu bangsa secara utuh. Kalau tidak, bangsa itu adalah bagai bangsa yang tidak mempunyai wajah. Sesuatu bangsa tidak mungkin wujud dalam tabula rasa atau kepakuman. Bangsa tidak seharusnya hanya menjadi komuniti yang diimaginasikan; sebaliknya bangsa yang mampu mengharungi gelombang cabaran masa depan ialah bangsa yang jitu dan kukuh peribadinya. Kesedaaran kolektif bangsa dapat dibentuk melalui bangsa kebangsaan yang digunakan dengan meluas dalam semua bidang, meliputi pelbagai aspek kehidupan. Selain keteguhan busdaya, politik dan ekonomi, bahasa kebangsaan merupakan wadah penting sesuatu bangsa untuk memantapkan dan melonjakkan martabatnya dalam komuniti antarabangsa.

    Salah satu perkara yang perlu diberi penekanan ketika  mengharungi arus deras globalisasi ialah persoalan jati diri bangsa melalui bahasa kebangsaan, kerana bahasa menunjukkan bangsa.  Jadi, bahasa kebangsaan tidak seharusnya hanya dimaktubkan dalam perlembangaan negara, tetapi perlu dijunjung tinggi sebagai lambang jati diri dan maruah bangsa yang tidak boleh dikompromi. Hakikat bahawa bahasa kebangsaan merupakan tonggak utama dalam pembinaan bangsa dan tunjang perpaduan nasional, serta faktor utama dalam membangun peradaban dan tamadun moden tidak sehaurnysa dipandang ringan. Wajah, jati diri dan kemajuan sesuatu bangsa pada masa depan bergantung pada sikap generasi hari ini terhadap bahasa kebangsaan negaranya.