Bagi masyarakat Melanau, terutama di Mukah dan Dalat, Sarawak, salah satu cara perubatan tradisional yang masih digunakan adalah dengan menggunakan dakan. Masyarakat Melanau terdiri daripada yang beragama Islam, Kristian dan Pagan yang juga dikenali sebagai Likow. Golongan Pagan dan sesetengah penganut Kristian masih lagi berubat dengan menggunakan dakan.
Mengikut kepercayaan Melanau Likow, dunia terdiri daripada tiga lapisan, iaitu, dunia atas, pertengahan dan bawah. Di dalam ketiga-tiga lapisan itu terdapat unsur baik dan jahat. Makhluk halus yang terdapat di setiap lapisan itu perlu dipelihara supaya tidak mengganggu manusia. Terdapat pelbagai jenis makhluk halus seperti duhig, tow, ipok, dan jin. Jika unsur jahat berkenaan diganggu, besar kemungkinan ia akan mengganggu manusia , dan boleh menyebabkan mereka diserang penyakit. Makhluk halus itu dipercayai mendiami kawasan muara sungai, laut, hutan, bukit, gunung dan pokok tertentu. Makhluk halus tidak dapat dihubungi manusia biasa, kecuali dukun atau bomoh seperti a-bayoh.
Masyarakat Melanau menggunakan pelbagai cara tradisional untuk mengubati penyakit, termasuk memaku, berbayuh, beguda, payun, dan menggunakan dakan. Cara pengubatan tertakluk kepada jenis dan ketenatan penyakit yang dihidapi. Yang pasti, bagi Melanau Likow terutamanya, manusia merupakan gabungan daripada empat unsur, iaitu badan, roh, perasaan dan nyawa. Keseimbangan keempat-empat unsur itu penting bagi menjamin bahawa seseorang itu sentiasa sihat. Kepercayaan umum dalam masyarakat Melanau Likow ialah jika sesuatu penyakit itu tidak dapat diubati dengan cara moden, maka penyakit itu adalah disebabkan oleh makhluk halus atau kuasa ghaib.
Dukun yang menggunakan dakan sebagai cara perubatan masih lagi diamalkan oleh Melanau Liko dan Kristian. . Dakan, patung pelbagai bentuk menyerupai bermacam-macam roh atau semangat dibuat daripada empulur atau dahan pokok rumbia atau kayu yang lembut. Meskipun jumlah pengukir dan bomoh yang mahir menggunakan dakan semakin pupus, dakan tetap digunakan untuk mengubati penyakit yang sukar diubati dengan cara moden di beberapa buah kampung di Mukah dan Dalat. Kini, terdapat tidak lebih daripada lima orang lagi yang masih hidup.
Dukun berkenaan biasanya mendapat kemahiran itu daripada mimpi. Pateran Lebai yang ditemu bual sebulan sebelum meninggal dunia baru-baru ini mengakui bahawa beliau telah sakit tenat dan perlu menjalani acara payun, upacara perubatan tradisional yang memakan masa tujuh malam berturut-turut, sebelum dianugerahkan dengan kepakaran dan kelebihan tersebut.
Terdapat sekitar 115 jenis dakan yang melambangkan pelbagai jenis roh. Dakan mempunyai fitur tertentu dan sesuatu dakan diukir oleh dukun setelah mendapat petunjuk. Kebanyakan dakan diukir dalam bentuk tubuh manusia dan reptilia. Nama sesuatu dakan berkaitan rapat dengan tempat kediaman rohnya seperti awan, laut, air, hutan dan darat. Nama tersebut membantu pengukir dakan mengingati fitur dan fungsi dakan berkenaan. Setiap dakan dapat dikenal pasti berdasarkan ciri ukiran. Umpamanya, berdasarkan kedudukan kaki dan tangannya, selain sama ada dakan itu berdiri, duduk atau mencangkung.
Adakah tangannya diletakkan di dada, memegang kepala, perut atau lutut? Jika dakan itu memegang kepala, hal ini bermakna ia adalah untuk mengubati penyakit yang ada kaitan dengan sakit kepala, manakala dakan yang tangannya memegang perut, sudah tentu untuk mengubati sakit perut. Roh wanita digambarkan melalui dakan yang berambut panjang dengan kaki berlipat ke dalam, dan roh laut biasanya digambarkan melalui dakan yang duduk di atas ikan pari. Dakan yang diukir berdiri bermakna bahawa roh jahat berkenaan besar kemungkinan boleh berjalan di dalam hutan. Meskipun dakan memiliki pelbagai ciri atau fitur, satu hakikat adalah pasti: kebanyakan dakan adalah berkepala besar dan dakan mempunyai mata.
Dalam hubungan ini, dakan gelap daat, misalnya digunakan untuk mengubati orang yang tidak siuman sesudah balik dari laut, manakala dakan jakan digunakan untuk mengubati orang yang sakit bisa-bisa pada anggota tertentu, misalnya pada mata dan pinggang. Dakan pulun adalah untuk mengubati mereka yang selalu bangun dan bercakap seorang diri sewaktu tidur. Dakan putih anak pula digunakan untuk menyembuhkan wanita hamil yang keluar darah, dan mengubati lelaki yang gatal-gatal di seluruh badan. Biasanya dakan berkenaan dimandikan dan airnya digunakan untuk mengelapkan badan pesakit. Selepas digunakan dakan jenis ini perlu diletakkan di bawah rumah, dan bukannya dihanyutkan di dalam sungai atau diletakkan di bawah pokok seperti dakan lain.
Ada dukun yang perlu tidur selama sekitar 10 minit untuk mendapat ilham sebelum dakan yang sesuai diukir bagi menyembuhkan penyakit. Biasanya dukun mengambil masa sekitar setengah jam untuk mengukir dakan, yang mempunyai ketinggian 4 hingga 18 inci. Kemudian, dukun akan membaca mantera yang berbunyi, “kieng sigieng mata no”, bermakna buka matamu supaya engkau dapat melakukan sesuatu seperti diminta oleh si pesakit. Dakan berkenaan akan dimandikan dan disemburkan dengan sirih dan pinang yang telah dikunyahkan oleh dukun.
Dukun akan menjampi dakan dan membuka mata dakan yang diukir. Dakan yang sudah dijampi perlu dihormati dan diletakkan di tempat yang sesuai, seperti di bawah pokok tertentu di tepi sungai ataupun dihanutkan di dalam sungai. Dakan itu tidak boleh diganggu seperti dipukul atau dirosakkan oleh sesiapa pun. Sesiapa yang melakukan perbauatan yang dianggap tidak menghormati dakan akan terkena penyakit yang sukar diubati. Dipercayai bahawa roh jahat akan mengamuk dan mengganggu individu berkenaan.
Bagi si pesakit, terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi. Dia tidak boleh membawa parang turun dari rumah, makan ikan yu, pari dan ikan sejenis, dan makan makanan yang dihangatkan kembali. Dia juga tidak boleh masuk ke dalam rumai salai atau belanga, tempat memproses sagu. Selain itu, kaum keluarga dilarang memanjat atau menebang pokok yang berdekatan dengan rumah tempat tinggal si pesakit. Segala pantang larang ini bertujuan untuk memastikan bahawa si pesakit tidak jatuh sakit kembali atau sulek. Jika tidak, proses pengubatannya adalah lebih sukar; kalau tidak pun, dipercayai bahawa tindakan tersebut boleh membawa maut.
Sebagai ganjaran, bomoh biasanya perlu diberi upah seperti sebilah pisau duit syiling, seekor ayam, jarum dan tali putih. Upah tersebut penting bagi menguatkan semangat bomoh yang perlu menghadapi kuasa ghaib yang dihadapinya.
Seorang pengamal perubatan tradisional Melanau di Kampung Sesok, Anthony Jerami berkata kebanyakan penyakit yang diubati menggunakan dakan merupakan penyakit yang tidak nampak secara mata kasar. Katanya, setiap penyakit memerlukan dakan yang berbeza bentuk dan fiturnya
“Terdapat lebih daripada 100 dakan yang dapat mengubati pelbagai jenis penyakit. Dakan biasanya dibuat daripada empulur pokok rumbia atau dahan rumbia kerana mudah diukir. Dakan yang telah digunakan perlu dihormati dan diletakkan di tempat yang sesuai. Jika tidak, semangat dakan boleh menyerang orang yang tidak menghormatinya. Jangan sama sekali memukul dakan atau merosakkannya,” katanya.
Pesakit yang menggunakan khidmat dukun yang pandai menggunakan dakan ialah mereka yang diserang penyakit pelik seperti diganggu jin dan penunggu. Meskipun populariti dakan semakin terhakis namun masih ada yang menggunakan khidmat perubatan tradisional ini setelah gagal dengan cara perubatan moden. Yang menarik, bukan hanya kaum Melanau yang mendapatkan khidmat dukun berkenaan, tetapi juga pesakit daripada masyarakat Iban dan Cina.
Cara pengubatan tradisional dengan menggunakan dakan semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Melanau sesuai dengan perubahan yang dialami oleh masyarakat itu. Semakin banyak kaum Melanau yang memeluk agama Kristian atau Islam. Pengaruh perubatan moden juga turut menyebabkan dakan semakin terpinggir. Adakah suatu hari nanti dakan akan hanya menjadi objek hiasan? Atau dakan akan hanya menjadi cenderamata yang akan dibeli oleh para pelancong? Besar kemungkinan, dakan akan menjadi artifak yang dihimpunkan di dalam muzium dalam tempoh kurang daripada sepuluh tahun lagi.





Komen Terbaru Pembaca Blog