Mulai 19 Ogos lalu, saya telah diberi peluang untuk menulis dalam kolum pada setiap hari Rabu dalam Berita Harian. Tumpuan adalah kepada isu semasa termasuk politik, sosial, budaya dan seumpamanya. Tumpuan khusus diberi kepada perkembangan di Sarawak. Ini merupakan satu langkah yang baik ke arah merealisasikan gagasan Satu Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Harap tuan/puan sudi membaca kolum berkenaan pada setiap Rabu. Terima kasih.
» Mulai
-
Kembara menulis buku pun bermula…By Jeniri Amir on June 22nd, 2009 | 2 Comments
Berpandukan strategi penerbitan dan pemasaran yang betul, buku bukan fiksyen juga mulai mendapat pasaran yang baik. Ada buku yang diulang cetak beberapa kali dalam tempoh yang relatif singkat sehingga melonjakkan nama penulis ke papan teratas.
Namun, untuk mencapai kejayaan seperti itu bukan mudah. Sifat, persediaan, pengetahuan, dan kemahiran yang betul dituntut bagi membolehkan anda muncul sebagai penulis yang berjaya. Menyedari pentingnya calon penulis didedahkan dengan teknik, prinsip, panduan, dan tip penulisan buku yang berkesan, maka saya berusaha untuk menulis buku ini, ‘Menulis Buku: Cara Lain Dapatkan Wang Besar’. Banyak permintaan daripada penulis, termasuk pensyarah universiti agar saya menghasilkan buku seumpama ini, sesudah buku Buat Duit Dengan Menulis beredar di pasaran. Tambahan pula, belum terdapat buku seumpamanya di Malaysia.
Buku ini secara khusus menjelaskan panduan menulis buku daripada peringkat membuat kertas cadangan, mendapatkan idea, memberi tajuk, menulis wacana, pembacaan pruf, hinggalah penyediaan manuskrip. Dengan demikian diharapkan, ia dapat mengatasi sebarang hambatan dan masalah mereka yang ingin menulis buku.
Buku ini dapat mencungkil potensi anda sebagai penulis kerana sifatnya yang informatif dengan menekankan panduan yang praktikal. Buku ini sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang ingin menulis dan berminat dalam dunia penulisan, termasuk golongan profesional yang sibuk. Pengolahannya menarik dan penyampaiannya mudah diikuti kerana penulis menggunakan gaya bahasa yang lincah dan mudah, tetapi segar dan kreatif. Terdapat banyak kisah menarik, statistik yang menakjubkan, dan kata-kata hikmat yang memberi rangsangan dimuatkan dalam buku ini.
Dalam bidang penulisan, memang menjadi impian setiap penulis untuk menghasilkan buku yang akan dibeli dan dibaca oleh masyarakat. Kalau dapat mereka mahu buku itu menjadi bestseller. Itulah yang menjadi pegangan saya ketika menulis buku ini. Selain bersifat motivasi, buku ini lebih merupakan buku panduan how to yang dapat menjadi pegangan atau handbook mereka yang ingin menghasilkan manuskrip yang berpotensi diterima oleh penerbit. Anda dapat mengetahui panduan dari segi penyediaan kertas cadangan, bahagian yang perlu ada dalam buku, alat penulisan yang berkesan, aspek yang dinilai, dan mengapa manuskrip anda ditolak oleh penerbit.
Dalam dunia penerbitan, banyak pihak yang terlibat: penulis, penilai, editor, pereka letak, pembaca pruf, pengedar, dan pembeli. Pendek kata, buku ini adalah tentang dunia buku dari peringkat menggagaskan idea hingga ke promosi buku. Bab teknik mengubah suai tesis menjadi buku, kaedah penulisan KJ, dan aspek penilaian buku tentu amat berguna kepada penulis. Kriteria buku yang berjaya, sebab manuskrip ditolak dan strategi menanganinya turut disentuh dalam buku ini.
Panduan atau tip yang disampaikkan adalah berdasarkan pengalaman, pengetahuan, dan kemahiran selama berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 20 tahun, baik sebagai penulis, pengulas buku, pengkritik, penilai, editor, pemudah cara kursus ataupun pembicara buku. Buku ini merupakan yang pertama seumpamanya diterbitkan di Malaysia.
Jadi, jika anda mahu tahu bagaimana menjadi penulis yang berjaya, bacalah buku ‘Menulis Buku: Cara Lain Dapatkan Wang Besar’. Saya yakin bahawa idea anda akan dapat disampaikan dalam bentuk buku yang mendatangkan hasil kewangan dan kesan positif lain kepada anda, keluarga, dan negara. Anda harus yakin terhadap diri, dan mulalah menulis. Menulis ialah langkah pertama ke dunia keseronokan dan kepuasan yang yang pasti ingin anda nikmati.





Komen Terbaru Pembaca Blog