Logo Background RSS

» Penulis

  • Status Bumiputera Sarawak tak berlandaskan 1Malaysia
    By Jeniri Amir on November 4th, 2009 | No Comments Comments

    Beberapa fasal dalam perlembagaan perlu digubal elak tafsiran berbeza

    KETIKA memohon untuk program matrikulasi tahun lalu, pelajar berusia 17 tahun yang berasal dari Sri Aman, Sarawak mempunyai keyakinan dan harapan tinggi bahawa permohonannya akan diterima. Tetapi impian pelajar yang bercita-cita menjadi doktor itu berkecai meskipun dia mendapat 9A dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Alasan Kementerian Pelajaran menolak permohonan pelajar cemerlang itu kerana dia tidak memenuhi syarat ? dia bukan Bumiputera. Walhal ayahnya ialah Iban yang dipertemukan jodoh dengan wanita Cina yang kini menjadi ibu pelajar itu. Kes Marina Udau, pelajar yang dimaksudkan itu, bukan kekecualian.

    Perkahwinan campur bukan sesuatu yang asing di Sarawak, terutama antara Iban dengan Cina. Mengikut banci 2006, ada sekitar 682,000 orang Iban berbanding Cina sebanyak 601,000 orang daripada 2.3 juta penduduk Sarawak. Disebabkan ada sekitar 28 suku kaum di negeri ini, kemungkinan untuk berlaku kahwin campur dengan kaum lain adalah sesuatu yang kerap berlaku, lebih-lebih lagi sesudah dekad 1980-an.

    Dalam keluarga besar penulis daripada etnik Melanau, ada yang berkahwin dengan kaum Kayan, Kenyah, Kelabit, Bidayuh, Iban dan Cina. Perkahwinan sesama Bumiputera tidak menimbulkan masalah, kerana anak mereka dianggap Bumiputera. Tetapi yang menimbulkan masalah apabila kaum Bumiputera berkahwin dengan bukan Bumiputera. Anak wanita Bumiputera yang berkahwin dengan lelaki Cina, misalnya akan hilang ‘kebumiputeraannya’.

    Meskipun demikian, Sarawak mempunyai Jawatankuasa Kabinet Negeri yang bermesyuarat dua kali setahun bagi memutuskan permohonan dan mengesahkan taraf Bumiputera seseorang hasil daripada perkahwinan campur.

    Perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan siapa Bumiputera atau kaum peribumi di negara ini. Takrifan atau pengkategorian itu sebenarnya berbeza-beza untuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Pada amnya, di Semenanjung, anak secara automatik menjadi Bumiputera jika bapanya Bumiputera, manakala di Sabah pula, anak ialah Bumiputera jika ayah atau ibunya Bumiputera.

    Mengikut perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan, bagi Sarawak, Bumiputera bermaksud ’seorang warga negara dan ia adalah seorang daripada mana-mana suku kaum yang dinyatakan dalam Fasal 7 sebagai kaum asli negeri itu atau ia adalah seorang berketurunan campuran yang berasal hanya daripada kaum-kaum itu.’ Hakikatnya, di Sarawak jika ayah ialah Bumiputera, maka anaknya secara automatik dikategorikan sebagai Bumiputera.

    Mengikut pengkategorian dalam Perlembagaan Persekutuan, kaum-kaum yang disifatkan sebagai asli bagi Sarawak untuk maksud taraf ‘Bumiputera’ dalam Fasal (6) ialah Bukitan, Bisaya, Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kedayan, Kelabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang, (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melanau, Murut, Penan, Sihan, Tagal, Tabun dan Ukit.

    Disebabkan fasal berkenaan dalam perlembagaan itu digubal pada awal 1960-an ketika Sarawak sama-sama membentuk Malaysia, fasal terbabit tidak menyebut kaum Iban dan Bidayuh. Sebaliknya, perkataan yang digunakan untuk merujuk kaum Iban ialah Dayak Laut, manakala Dayak Darat pula sebenarnya merujuk kepada kaum Bidayuh.

    Kini di Sarawak, Murut tidak lagi digunakan; sebaliknya yang digunakan ialah Lun Bawan. Penulis percaya, sebahagian besar daripada rakyat Malaysia di luar Sarawak tidak pernah pun mendengar sebahagian daripada nama etnik yang disenaraikan itu. Etnik minoriti terbabit tinggal di kawasan hulu atau pedalaman dan jumlah mereka rata-rata adalah kurang daripada 10,000 orang.

    Kes yang menimpa Marina mendapat reaksi daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik kerajaan dan pembangkang. Semua pihak hairan bagaimana kejadian yang menimpa Marina boleh berlaku. Kalaupun diketepikan kriteria atau kelayakan kaum, pelajar cemerlang seperti Marina seharusnya mendapat tempat.

    Adakah begitu ramai pelajar Bumiputera yang mendapat keputusan secemerlang yang dicapai oleh Marina sehingga beliau tidak terpilih kerana keterbatasan kekosongan? Atau kes yang menimpa Marina adalah kerana pihak Kementerian Pelajaran mentafsirkan maksud Bumiputera mengikut perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan untuk anak kelahiran daripada perkahwinan campur?

    Jangan sampai pelajar seperti Marina berpendapat bahawa wujud dua kelas Bumiputera di negara ini. Persepsi sedemikian tentu tidak baik untuk masa depan negara ini. Sama seperti kita tidak mahu timbulnya tanggapan bahawa wujud dua kelas rakyat di Malaysia.

    Di Negeri Sembilan baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa tidak ada rakyat kelas dua atau satu di negara ini, sama seperti tidak terdapatnya rakyat yang terpencil dan sengaja dipinggirkan.

    Ibu bapa yang mengamalkan kahwin campur di Sarawak kini risau akan nasib yang bakal menimpa anak mereka kemudian hari. Bagi golongan ini, taraf sebagai Bumiputera penting dalam menentukan sama ada layak atau tidak seseorang apabila membabitkan dasar kerajaan.

    Sebagai Bumiputera, mereka mempunyai keistimewaan yang dijamin di bawah Perlembagaan, sama ada dari segi peluang mendapat pekerjaan, biasiswa, membeli tanah Bumiputera, dan sebagainya. Kebimbangan ibu bapa terbabit memang mempunyai asas kukuh. Jika anak mereka bukan Bumiputera, implikasi dan kesan dari segi psikologi, politik dan sosioekonomi amatlah besar dan mendalam.

    Anak mereka tidak akan layak untuk memasuki Tingkatan Enam dan universiti awam jika tidak mendapat keputusan cemerlang, peluang mendapat biasiswa tipis, malah mereka tidak layak membeli Amanah Saham Bumiputera.

    Menyedari implikasi politik dan sosioekonomi yang mendalam bagi anak hasil daripada perkahwinan campur antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, mungkin langkah perlu diambil untuk meminda fasal tertentu Perlembagaan Persekutuan atau negeri. Tidak harus wujud tiga tafsiran yang berbeza. Justeru, perlu takrif terbabit diselaraskan bagi mengelakkan kekeliruan.

    Sejajar dengan gagasan 1Malaysia dan keinginan kita untuk mewujudkan negara bangsa, adakah keterlaluan jika anak daripada perkahwinan campur antara bukan Bumiputera dan Bumiputera secara automatik diberi status Bumiputera?

    Dengan cara ini, kita akhirnya akan dapat menyaksikan masyarakat Malaysia yang benar-benar bersatu padu. Perkahwinan campur antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera perlu digalakkan kerana ini antara langkah terbaik ke arah memantapkan perpaduan kaum di negara ini.

    Jika kita ikhlas dalam usaha berkenaan, tembok perbezaan tidak harus diwujudkan. Mengapakah kita perlu ‘menghukum’ nasib anak wanita Bumiputera yang berkahwin dengan lelaki bukan Bumiputera? Bukan tidak ada wanita Bumiputera berkahwin dengan lelaki Cina yang risau akan nasib menimpa anaknya yang bakal hilang status Bumiputera.

    Kini pun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkahwin dengan wanita berbangsa Cina dilaporkan risau mengenai nasib dan masa depan anaknya. Soal jodoh atau dengan siapa seseorang akan mendirikan rumah tangga ialah ketentuan Tuhan.

    Jangan hanya kerana ada yang risau akan nasib menimpa anak yang bakal lahir, maka mereka mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hasrat murni mendirikan rumah tangga hanya kerana lelaki yang bakal menjadi pasangan hidupnya bukan Bumiputera.

    Nasib yang menimpa Marina tidak seharusnya berulang pada masa depan. Sebaliknya, pelajar seperti Marina perlu diberi peluang sama seperti pelajar cemerlang lain. Jika tidak, ini boleh dianggap sebagai peminggiran dan diskriminasi terhadap anak miskin dari luar bandar. Peluang yang diberi terhadap pelajar cemerlang seharusnya buta warna kulit, asal usul dan kaum jika benar-benar kita hendak melangkah ke hadapan sebagai negara dan bangsa yang maju.

  • Kembara menulis buku pun bermula…
    By Jeniri Amir on June 22nd, 2009 | 2 Comments2 Comments Comments

    Berpandukan strategi penerbitan dan pemasaran yang betul, buku bukan fiksyen juga mulai mendapat pasaran yang baik. Ada buku yang diulang cetak beberapa kali dalam tempoh yang relatif singkat sehingga melonjakkan nama penulis ke papan teratas.

    Namun, untuk mencapai kejayaan seperti itu bukan mudah. Sifat, persediaan, pengetahuan, dan kemahiran yang betul dituntut bagi membolehkan anda muncul sebagai penulis yang berjaya. Menyedari pentingnya calon penulis didedahkan dengan teknik, prinsip, panduan, dan tip penulisan buku yang berkesan, maka saya berusaha untuk menulis buku ini, ‘Menulis Buku: Cara Lain Dapatkan Wang Besar’. Banyak permintaan daripada penulis, termasuk pensyarah universiti agar saya menghasilkan buku seumpama ini, sesudah buku Buat Duit Dengan Menulis beredar di pasaran. Tambahan pula, belum terdapat buku seumpamanya di Malaysia.

    Buku ini secara khusus menjelaskan panduan menulis buku daripada peringkat membuat kertas cadangan, mendapatkan idea, memberi tajuk, menulis wacana, pembacaan pruf, hinggalah penyediaan manuskrip. Dengan demikian diharapkan, ia dapat mengatasi sebarang hambatan dan masalah mereka yang ingin menulis buku.

    Buku ini dapat mencungkil potensi anda sebagai penulis kerana sifatnya yang informatif dengan menekankan panduan yang praktikal. Buku ini sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang ingin menulis dan berminat dalam dunia penulisan, termasuk golongan profesional yang sibuk. Pengolahannya menarik dan penyampaiannya mudah diikuti kerana penulis menggunakan gaya bahasa yang lincah dan mudah, tetapi segar dan kreatif. Terdapat banyak kisah menarik, statistik yang menakjubkan, dan kata-kata hikmat yang memberi rangsangan dimuatkan dalam buku ini.

    Dalam bidang penulisan, memang menjadi impian setiap penulis untuk menghasilkan buku yang akan dibeli dan dibaca oleh masyarakat. Kalau dapat mereka mahu buku itu menjadi bestseller. Itulah yang menjadi pegangan saya ketika menulis buku ini. Selain bersifat motivasi, buku ini lebih merupakan buku panduan how to yang dapat menjadi pegangan atau handbook mereka yang ingin menghasilkan manuskrip yang berpotensi diterima oleh penerbit. Anda dapat mengetahui panduan dari segi penyediaan kertas cadangan, bahagian yang perlu ada dalam buku, alat penulisan yang berkesan, aspek yang dinilai, dan mengapa manuskrip anda ditolak oleh penerbit.

    Dalam dunia penerbitan, banyak pihak yang terlibat: penulis, penilai, editor, pereka letak, pembaca pruf, pengedar, dan pembeli. Pendek kata, buku ini adalah tentang dunia buku dari peringkat menggagaskan idea hingga ke promosi buku. Bab teknik mengubah suai tesis menjadi buku, kaedah penulisan KJ, dan aspek penilaian buku tentu amat berguna kepada penulis. Kriteria buku yang berjaya, sebab manuskrip ditolak dan strategi menanganinya turut disentuh dalam buku ini.

    Panduan atau tip yang disampaikkan adalah berdasarkan pengalaman, pengetahuan, dan kemahiran  selama berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 20 tahun, baik sebagai penulis, pengulas buku, pengkritik, penilai, editor, pemudah cara kursus ataupun pembicara buku. Buku ini merupakan yang pertama seumpamanya diterbitkan di Malaysia.

    Jadi, jika anda mahu tahu bagaimana menjadi penulis yang berjaya, bacalah buku ‘Menulis Buku: Cara Lain Dapatkan Wang Besar’. Saya yakin bahawa idea anda akan dapat disampaikan dalam bentuk buku yang mendatangkan hasil kewangan dan kesan positif lain kepada anda, keluarga,  dan negara. Anda harus yakin terhadap diri, dan mulalah menulis. Menulis ialah langkah pertama ke dunia keseronokan dan kepuasan yang yang pasti ingin anda nikmati.

    Menulis buku, membuat duit dan capai impian

    Cara menulis buku yang orang baca

  • Kuasa Blog dalam Politik
    By Jeniri Amir on June 11th, 2009 | 3 Comments3 Comments Comments

    Abstrak

    Ketika kedudukan dan wibawa media arus perdana semakin terhakis, Internet dan blog memainkan peranan yang semakin penting dalam politik dan pilihan raya. Blog membantu mewujudkan demokrasi digital. Dalam Pilihan raya Umum  Ke-12 pada 8 Mac lalu, blog  merupakan genre komunikasi baharu yang mampu mengubah pola pengundian rakyat Malaysia. Dengan corak liputan yang bersifat radikal dan berani, blog dan penulis blog berperanan sebagai wartawan rakyat dan intelektual awam yang mampu membentuk dan mengubah pendapat dan persepsi umum  terhadap pihak yang bertanduing dalam pilihan raya. Blog berperanan mengemukakan wacana tandingan dan membuka ruang awam dan ruang demokrasi dalam usaha mematangkan demokrasi di negara ini.

    Pendahuluan

    Dunia siber ialah dunia yang serba mungkin. Dunia siber tidak memerlukan  lesen, permit atau pasport untuk memasukinya.  Sesiapa sahaja boleh memasukinya dengan niat dan tujuan yang bermacam-macam.  Dunia maya ialah dunia yang amat  berkuasa. Media baharu ini membuka banyak ruang dan peluang kepada sesiapa sahaja untuk memasukinya dan menyertainya. Sesiapa sahaja boleh menyumbang maklumat dan menggunakan maklumat daripada dunia siber itu.  Antara ciri dunia siber ialah seseorang boleh menyumbang sebanyak mungkin maklumat dan menggunakan maklumat tanpa had.

    Dunia maya memungkinkan anda menjadi pemberita, penulis, editor, pencetak dan pengedar sekali gus. Kemudahcapaian terhadap akses internet di mana-mana melalui sambungan dengan wayar atau tanpa wayar  menjadikan akses semakin mudah kepada sesiapa sahaja yang tahu menggunakan internet. Internet dapat disifatkan sebagai gergasi rangkaian talian komputer. Internet kini membentuk sebuah dunia yang dikenali sebagai dunia siber atau dunia digital. Sesungguhnya, internet telah menggabungkan imaginasi mengenai kuasa teknologi maklumat yang melaluinya dapat disiarkan dan dipaparkan pelbagai bentuk maklumat seperti teks, gambar, suara, carta, atau bunyi stereo yang dikenali sebagai multimedia.  Persoalan yang sering diperkatakan tentang bahan yang disiarkan dalam dunia maya itu ialah sejauh manakah bahan tersebut mengambil kira soal ketepatan, kesahihan, objektiviti, etika dan kebertanggungjawaban?

    Mengikut  statistik  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  sehingga 2006, jumlah pengguna internet di negara ini mencecah 14,3609,000 juta orang berbanding  dengan 13,9196,000 juta orang pada tahun 2005. Anggaran tersebut adalah berdasarkan kadar yang diterima pakai di Malaysia,  iaitu bagi setiap akaun internet terdapat tiga orang pengguna.  Bertambahnya masyarakat nettizen - istilah yang merujuk kepada mereka yang gemar melayari internet — menjadikan media siber hari ini mempunyai pengikut dan pengaruh yang cukup besar di negara ini.

    Meskipun jumlah ini agak terkebelakang berbanding negara maju, tidak dapat dinafikan bahawa media siber di negara ini  berkembang dengan begitu pantas,  selari dengan kemajuan teknologi maklumat.  Internet merupakan alat komunikasi terkini yang dapat digunakan untuk menyebarkan ilmu dan maklumat dengan pantas dan berkesan.  Oleh sebab tiada tangan undang-undang yang dapat mengawal perjalanan maklumat, maka berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat, idea, kepercayaan ideologi, propaganda dan  pornografi disebarkan melalui dunia maya

    Manakala jumlah blog pula semakin hari semakin meningkat dan kehadiran mereka semakin dirasai dan dciiktiraf, apatah lagi dengan liputaan yang diberi oleh media arus perdana tentang kewujudan blog yang radikal. Pada Mac 2003, tapak pemantau blog, blo.gs melaporkan terdapat 350,000 blog aktif, tetapi pada akhir September 2003, jumlah tersebut telah meningkat. Pasda awal 2004, satu tinjauan mendapati bahawa anatara 2 huingga 7 peratus rakyart Amerika yang menggunakan Internet telah mewujudkan blo0g mereka (Lenhart, Horrigan & Fallows, 2004 dalam Tremayne, 2007). Menjelang akhir suku pertama 2004, terdapat 31.6 juta blog, kebanyakannya merupakan jurnal peribadi (Henning, 2005 dalam Tremayne, 2007). Daripada semua pengguna Internet di Amerika Syarikat, satu suku mwenggunakan sumber alternatif, seperti blog, untuk mendapatkan berita kempen pada 2004. Sembilan peratus daripada pengguna Internet mendakwa telah membaca blog politik ‘agak kerap’ atau ‘kadangkala’.

    Di negara berkenaan, pembaca blog merupakan individu yang kecewa dengan media tradisional, justeru beralih kepada blog untuk mendapatkan maklumat, apatah lagi kajian Johnson dan Kaye (2004) mendapati bahawa pembaca blog menganggap media arus perdana sebagai ‘agak berwibawa’.  Pengkaji berkenaan juga merumuskan bahawa pengguna blog menganggap bahawa dengan membaca blog mereka menjadi lebih terbabit dengan politik, dan hampir 90 peratus percfaya bahawa ipengetahuan mereka tentang politik dan berita am telah meningkat sejak mereka membaca blog.

    Di negara ini, sesetengah blog yang sudah popular menerima sehingga sejuta kunjungan dalam satu hari yang normal. Kalau pada hari-hari yang ada isu yang panas, jumlah kunjungan berlipat kali ganda. Misalnya, blog berita Malaysia Today menerima kunjungan sehingga 2.4 juta hit apabila terdapat isu panas, berbanding kira-kira 500,000 hit pada hari-hari biasa. Blog Jeff Ooi juga menerima kenaikan mendadak  susulan insiden semburan bahan pemedih mata terhadap Dr Mahathir suatu ketika dahulu.  Pengunjung ke blognya mencecah 36,000 pageview dan 26,000 pengunjung unik, pencapaian tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun. Secara purata, blog beliau menerima 22,000 pengunjung unik sehari. Mengikut Jeff Ooi, pengendali laman web berpengalaman,  rasa geram terhadap pemimpin politik dan kerajaan mendorong majoriti pembaca di blognya meluahkan ulasan-ulasan yang penuh emosi, retorik politik dan tanpa isi bernas (Fathi Aris Omar, 2006).  Rasa tidak senang ini bukan terkhusus kepada menteri-menteri kabinet tetapi juga pada Dr Mahathir, bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga pemimpin-pemimpin pembangkang.

    Kelebihan Dunia Maya

    Selain sebagai wadah untuk menyebarkan maklumat dan ilmu, internet  turut menjanjikan perubahan positif terhadap landskap politik yang berteraskan sistem demokrasi. Malah, internet yang pada mulanya hanyalah sebuah projek Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat yang dijalankan pada 1969, boleh bertindak sebagai tulang belakang kepada kewujudan dan perkembangan demokrasi di negara ini. Kelebihan internet terletak pada hakikat bahawa pengguna internet boleh menghantar dan menerima maklumat atau mesej walau di mana sahaja mereka berada, membicara berita daripada mana-mana laman, melayari laman web, serta menyertai perbincangan, secara langsung atau interaktif, baik melalui teks atau suara. Keupayaan internet sebagai alat komunikasi jauh mengatasi alat-alat komunikasi biasa. Antara aplikasi internet yang popular ialah YouTube, My Space, e-mel, world wide web, kumpulan berita dan ruang sembang.

    Mengikut Ghague dan Loader (1999: 6), terdapat tujuh ciri atau sifat internet yang mampu menyumbang kepada kewujudan demokrasi digital. Internet bersifat interaktif, berjaringan global, kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan, pembentukan dan penyebaran maklumat secara bebas, alternatif kepada perspektif rasmi, dan penghapusan identiti negara bangsa. Dengan itu, dunia siber membolehkan penyertaan rakyat yang lebih menyeluruh dalam sistem politik. Secara tidak langsung, kerajaan memungkinkan amalan politik yang lebih telus, bertanggungjawab, bersih dan adil. Akhirnya, suara dan kepentingan rakyat dapat didaulatkan melalui dunia siber tersebut, kerana kerajaan perlu sedar bahawa, berbeza daripada zaman dahulu, segala perlakuan mereka akan dipantau, dikomen dan dikritik di alam maya.

    Pertarungan Politik di Dunia Siber

    Kebebasan bersuara kadangkala disalahgunakan oleh sesetengah pengunjung dunia maya. Mereka bukan sahaja menyerang individu yang menjadi musuh mereka, tetapi juga menyerang institusi dan pemerintah. Bagaimanapun,  berbanding media arus perdana, media baharu ini lebih digemari, terutama oleh generasi muda. Sudah terdapat tanggapan dalam kalangan rakyat atau pembaca di negara ini bahawa, media aruas perdana sudah hilang kredibiliti. Pemecatan dan kes salah laku seks bekas Timbalan  Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim umpamanya dianggap sebagai era bermulanya dunia siber di negara ini. Satu kajian pernah dibuat dalam tempoh pemecatan dan gerakan reformasi yang beliau lancarkan sekitar 1999, didapati bahawa hampir 82.7 peratus pengguna internet di Malaysia mengunjungi laman-laman web reformasi sebanyak tiga kali sehari. Hal ini jelas menunjukkan bagaimana besarnya pengaruh media siber melalui laman-laman web dan blog ekoran daripada kegawatan politik, sosial dan ekonomi yang melanda negara pada waktu itu.

    Media cetak perdana tempatan yang dikawal oleh kerajaan ketika itu tidak lagi diyakini kerana didakwa banyak melindungi kebenaran dan menyiarkan kepalsuan semata-mata. Kredibiliti dan  wibawa media tempatan mula dipetikaikan. Tumpuan dan perhatian masyarakat ketika itu mula beralih kepada media siber berikutan kemunculan berpuluh-puluh laman web dan blog proreformasi.   Kredibiliti media aruas perdana terhakis. Keadaan ini begitu ketara sesudah berlakunya krisis politik 1998 apabila orang ramai tidak lagi percaya terhadap laporan media berkenaan sehingga akhbar arus perdana menerima kesan dari segi sirkulasi. Ada daripadanya yang mengalami kemerosotan sehingga 30 peratus.

    Sebaliknya, media alternatif, termasuk lidah rasmi PAS, akhbar Harakah melonjak edarannya dari 60,000 naskhah kepada 360,000 naskhah meskipun berdepan dengan pelbagai sekatan dan cabaran dari segi undang-undang.  Hal ini berpunca daripada corak laporan yang dianggap tidak telus, berat sebelah atau tidak objektif, malah cuba menggelapkan berita yang tidak memihak kepada kerajaan; sebaliknya membesar-besarkan berita yang negatif tentang pembangkang.

    Media baharu dipersepsikan berani menyiarkan sesuatu berita yang tidak mungkin disiarkan oleh media arus perdana. Sama  ada apa-apa yang dilaporkan  itu benar atau sebaliknya sudah menjadi perkara kedua. Masalah yang timbul di sini adalah tanggapan umum yang semakin luntur  atau terhakis terhadap media arus perdana. Sewaktu kempen terutama nenjelang hai-hari mengundi pada 8 Mac 2008, media arus perdana semakin galak menyerang pembangkang, termasuk tokoh pentingnya. Serangan yang dianggap terlalu bersifat peribadi telah memakan diri. Tindakan media arus perdana menyumbat terlalu banyak maklumat tentang manifesto BN dan juga kebaikan yang telah dibawa oleh BN memburukkan lagi keadaan kerana khalayak berasa meluat melihat propaganda yang berlebih-lebihan.

    Sebahagian besar masyarakat hari ini lebih mudah menerima maklumat yang disiarkan menerusi laman web atau laman blog yang belum pasti kesahihannya. Dalam isu perhimpunan Hindraf,misalnya, media siber dilihat paling banyak memainkan isu tersebut dan puluhan laman web dan blog baharu muncul memperkatakan isu tersebut. Begitu juga dengan isu kononnya wujud krisis antara Raja-Raja Melayu dengan pihak kerajaan. Media siber memperbesar-besarkan isu tersebut seolah-olah krisis tersebut sememangnya berlaku. Banyak laman web dan blog telah secara tidak bertanggungjawab melaporkan isu tersebut.

    Malah, dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, blog sebagai genre komunikasi baharu yang begitu berkesan. Media baharu ini memainkan peranan yang begitu berkesan dalam menyebarkan maklumat sehingga terdapat pendapat yang mengatakan bahawa kekalahan pihak Barisan Nasional di negeri tertentu berpunca daripada kekuatan media baharu tersebut. Pada masa akan datang, kempen utama politik di Malaysia dijangka akan berpusat di internet sama seperti yang berlaku misalnya, di Amerika Syarikat atau Korea Selatan.

    Meskipun ada daripada calon BN yang cuba menggunakan blog, dengan harapan untuk meraih sokongan pengundi daripada generasi muda, namun mereka terpaksa menyerah kalah apabila sambutan terhadap blog mereka amat dingin. Seperkara yang menarik, dalam pilihan raya lalu, melalui Internet, calon pembangkang telah berjaya mengutip dana sebanyak RM100,000 melalui Internet - sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini (The Star, 14 Mac 2008). Malah, dua laman web baharu muncul, iaitu, MalaysiaVotes.com and MalaysianInsider.com, namun sambutan terhadap laman tersebut tidak begitu menggalakkan berbanding dengan Malaysiakini yang sudah kukuh kedudukannya, apatah lagi menjelang pilihan raya dan beberapa hari sesudahnya, Malaysiakini yang ditubuhkan pada 1999 telah dibuka untuk orang ramai secara percuma. Tidak syak lagi, langkah Malaysiakini itu telah menjadikannya sebagai media alternatif yang digemari ramai, apatah lagi laporannya dipersepsikan sebagai objektif dan tidfak menyelindungkan fakta meskipun hakikatnya, fakta yang dilaporan ialah fakta yang telah dikonstruksikan, sesuai dengan kecenderungan wartawan yang menulisnya dan agenda Malaysiakini sendiri.

    Memang, sesetengah blog menyebarkan penulisan bukan berdasarkan fakta dan kebenaran tetapi bersungguh-sungguh menyebarkan fitnah dan kepalsuan yang bersumberkan khabar angin; dan bukannya sumber sahih sehingga ada daripada pemimpin kerajaan menganggap penulis blog sebagai goblok dan pengecut. Tetapi, kecaman tersebut telah meninggalkan kesan negatif terhadap pihak kerajaan.

    Kalau komputer boleh diibaratkan sebagai sebilah pisau, ia boleh memotong dan juga membunuh. Media tersebut digunakan untuk mencaci, memaki hamun dan melontarkan tohmahan serta fitnah terhadap kerajaan dan pemimpinnya. Tulisan itu sebagai satu bentuk propaganda bertujuan untuk menggambarkan pihak kerajaan dengan imej yang buruk dan jahat agar rakyat menentang kerajaan; dan menyokong pihak yang disokong oleh penulis berkenaan.

    Pembohongan sebagai satu bentuk propaganda adalah suatu amalan yang lumrah. Sebahagian daripada tulisan dalam blog dan internet adalah berunsurkan kontroversi dan sensasi yang menjurus kepada fitnah, hasutan, dan cacian. Sesungguhnya, tulisan tersebut yang sebahagiannya adalah berbentuk propaganda bertujuan untuk mengubah kepercayaan, pandangan dan pendirian seseorang atau sesuatu kumpulan kepada kepercayaan, pandangan dan pendirian pihak penyebar propaganda itu. Tetapi tulisan seperti inilah yang digemari oleh sesetengah rakyat sesuai dengan naluri manusia yang gemarkan berita sensasi dan kontroversi.

    Hakikatnya hari ini, media siber merupakan cabaran semasa yang wujud di seluruh dunia dan menjadi satu alternatif kepada sumber maklumat yang suatu ketika dahulu dimonopoli media cetak dan elektronik. Jika dahulu, apa-apa yang disiarkan oleh TV atau media arus perdana dipercayai sebagai benar dan ditelan bulat-bulat oleh khalayaknya, kini khalayak sudah semakin kritis tentang laporan media berkenaan. Mereka bukan sahaja sudah pandai menilai siapa pemilik media berkenaan, tetapi kecenderungan editor media berkenaan dalam menyiarkan laporan. Bloger dianggap sebagai wartawan rakyat dan intelektual awam, malah pemimpin pendapat (Tremayne, 2007).

    Populariti media baharu sebagai sumber alternatif adalah disebabkan orang awam kurang percaya terhadap maklumat versi rasmi atau media arus perdana yang dikawal oleh kerajaan. Akhbar arus perdana dianggap prokerajaan, dan antipembangkang dan tidak memberi ruang untuk suara alternatif. Sebagai akibatnya kredibiliti dan reputasi akhbar arus perdana terjejas teruk, manakala kredibiliti media alternatif melonjak kerana laporan yang  dianggap berani dan mendedahkan kebenaran.

    Dalam keadaan demikianlah, media siber menjadi pilihan utama, terutama dalam kalangan generasi muda. Maklumat daripada media siber dapat diperoleh dengan pantas, murah dan dengan penuh bergaya.  Kelebihan media siber  terletak pada tiadanya mekanisme tapisan, berbanding media arus perdana yang kelihatan banyak melakukan penyaringan kendiri. Corak liputan yang kadangkala bersifat radikal menyebabkan media baharu itu diterima baik oleh pembaca, apatah lagi jika perkara yang dilaporkan itu membabitkan soal rasuah, penyelewengan dan ketidaktelusan kerajaan, apatah lagi kini menjadi tuntuan masyarakart sivil untuk melihat kerajaaan yang mengamalkan tadbir urus yang baik, telus, bertanggun gjawab dan mengutamakan kepentingan rakyat.

    Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi  mengakui kesilapan besarnya dalam pilihan raya lalu adalah mengabaikan kempen siber yang dikuasai oleh pembangkang. Parti pembangkang yang selama ini diketepikan oleh media arus utama yang dikuasai oleh kerajaan telah menggunakan kempen secara meluas melalui blog, laman web baru dan SMS. Kata beliau: “Kita kalah dalam perang internet, perang siber. Ia adalah satu perhitungan yang salah. Kita melakukan kesilapan besar dengan memikirkan ia tidak penting. Kita ingat bahawa akhbar, media cetak, televisyen sepatutnya penting, tetapi orang-orang muda sedang melihat SMS dan blog-blog… Ia agak menyakitkan…tetapi ia tiba di saat yang tepat dan tidak terlalu lambat.” Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaacob juga melihat blog sudah menjadi medium maklumat yang semakin popular dalam kalangan generasi belia dan kewujudannya tidak boleh dipandang ringan kerana peranannya yang cukup berkesan. Sekiranya kewujudan blog terus dipandang ringan, bukan menghairankan jika suatu hari nanti ia akan mengambil alih peranan akhbar arus perdana.

    Hal ini demikian, kerana penggunaan blog  sangat berkuasa  dan berpengaruh dalam mencorakkan pemikiran rakyat negara ini terutama mengenai politik. Blog kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna internet yang melayari web dan blog adalah sangat ramai setiap hari.

    Sejak pilihan raya ke-12 lalu, media arus perdana, termasuk RTM 1 kelihatan telah cuba menyesuaikan dirinya dengan landskap politik baharu yang melanda negara. Media berkenaan sebenarnya tidak mempunyai pilihan jika mahu terus relevan dan diterima oleh khalayak. Jika tidak ia akan terus hilang kredibiliti dan dipulaukan oleh pembaca dan penonton yang sudah semakin terdedah kepada media baharu. Khalayak hari ini bukan sahaja mahu menyaksikan laporan media yang objektif, tetapi juga laporan yang bertanggungjawab dan tidak menyembunyikan fakta dan kebenaran.

    Mana-mana media yang cuba menyembunyikan fakta atau mengherotkan fakta, pasti akan menerima padah. Maksudnya, masa untuk media arus perdana mengamalkan kewartawanan lama sudah pun berlalu, dan jika mereka masih lagi terperangkap dalam amalan tersebut, sudah pasti media berkenaan akan berdepan dengan risiko besar. Berdasarkan laporan yang disiarkan melalui media elektronik kerajaan dan sebahagian akhbar arus perdana pada hari ini, sedikit banyak mereka sudah mulai mengubah corak laporan dengan membuka sedikit ruang kepada berita yang menyiarkan wacana tandingan, termasuk komen negatif oleh parti pembangkang tentang pihak pemerintah.

    Sesungguhnya, rakyat telah mengemukakan suara mereka tentang corak kerajaan yang diingini. Dengan itu, secara tidak langsung, mereka juga mahu memastikan bahawa media pada hari ini juga dapat menyesuaikan dirinya dengan tuntutan baharu rakyat. Corak liputan media yang diingini oleh khalayak kini adalah yang tidak memihak, objektif, bertanggungjawab, dan mampu membuka ruang awam dengan menyiarkan pandangan pelbagai pihak agar akhirnya media berkenaan dapat benar-benar menjadi pasar bebas maklumat yang mampu melahirkan masyarakat demokratik yang matang.

    Kesimpulan

    Peranan blog dan internet dalam pilihan raya tidak seharusnya dipandang remeh. Jumlah blog akan bertambah dan peranannya akan semakin signifikan dalam pilihan raya pada masa depan, kerana ahli politik semakin sedar bahawa mereka tidak lagi dapat bergantung sepenuhnya pada media tradisional seperti radio, televisyen atau akhbar harian. Lagipun, jumlah rakyat yang celik komputer terutama dalam kalangan generasi muda akan terus meningkat. Peranan blog semakin penting kerana masyarakat pada masa depan akan semakin terdidik dan mahu membaca laporan yang tidak berat sebelah, apatah lagi media yang cuba menyembunyikan fakta dan kebenaran. Blog pasti akan menjadi genre komunikasi baharu yang akan mempengaruhi corak pengundian dalam pilihan raya. Blog akan terus berperanan untuk membuka ruang awam dan ruang demokrasi, dan seterusnya membantu mematangkan demokrasi di negara ini.

    Terjemahan buku memacu ilmu

    Bahasa kebangsaan lambang jati diri bangsa